View: 4903|Reply: 0
|
Haaland perlu tutup mulut pengkritik ketika layan Real
[Copy link]
|
|
HAALAND (kanan) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan ketika Manchester City menang 5-1 ke atas Luton Town pada aksi EPL, Sabtu lalu. FOTO AFP
Manchester: Manchester City semakin hampir merangkul treble kedua, tetapi Erling Haaland berdepan kritikan apabila mereka melayan kunjungan Real Madrid pada aksi suku akhir kedua Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di Etihad, awal pagi Khamis ini.
Real yang juga juara Eropah 14 kali hadir dengan impian membalas dendam selepas dimalukan 0-4 di Manchester pada aksi separuh akhir, 11 bulan lalu, sebelum City muncul juara Eropah kali pertama dan turut meraih trofi Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Piala FA.
Anak buah Pep Guardiola kini kurang 12 perlawanan untuk mengulangi pencapaian treble, walaupun penyerang prolifik dari Norway itu gagal mengulangi sentuhan berbisa seperti musim lalu.
Pencapaian Haaland menjaringkan 31 gol daripada 38 perlawanan musim ini tetap membanggakan, tetapi dia gagal menjaringkan gol dalam tiga pertemuan City dengan Real sejak tahun lalu dan gagal menjaringkan gol dalam 13 daripada 20 perlawanan terakhir untuk kelab serta negaranya.
Penyerang berusia 23 tahun itu dikritik kerana tiada sumbangan lain kecuali jaringan gol.
Bekas pemain pertahanan Liverpool, Jamie Carragher melabel Haaland sebagai 'pemain amat mewah' yang belum mencapai tahap 'kelas dunia'.
Bekas kapten Manchester United, Roy Keane yang dikenali kerana dibuang padang selepas permusuhan panjang dengan bapa Haaland, Alf-Inge dalam pertarungan Manchester, mengecam cara bertahan penyerang City itu seperti pemain di Liga Dua, iaitu liga keempat dalam carta di England.
Media Sepanyol turut mengecam Haaland yang gagal menjaringkan gol pada tahun kedua berturut-turut di Santiago Bernabeu selepas perlawanan suku akhir pertama mendebarkan yang berkesudahan seri 3-3, minggu lalu.
Bos Real, Carlo Ancelotti tidak akan mengulangi kesilapan sama musim lalu apabila menggugurkan Antonio Rudiger pada perlawanan suku akhir kedua nanti, selepas bek tengah Jerman itu cemerlang mengekang Haaland di Bernabeu.
Pengurus City, Guardiola tetap mempertahankan penyerangnya dengan mengetengahkan rekod jaringan dan kejayaan pasukan sejak Haaland menyertai mereka.
Juara Inggeris itu turut merangkul Piala Super Super UEFA dan Piala Dunia Kelab musim ini dan lebih banyak trofi dijangka menyusul.
City kini dua mata di tangga teratas EPL dengan baki enam perlawanan dan akan berdepan Chelsea di separuh akhir Piala FA, Sabtu ini.
"Sasaran bukan untuk menang Ballon d'Or, tetapi menang banyak trofi dan dia melakukannya. Adakah kami boleh menang lima trofi tahun lalu tanpa Haaland? Tiada peluang," kata Guardiola membidas kritikan terhadap Haaland.
Guardiola berkata, penyerang itu turut membuka ruang yang membolehkan Phil Foden dan Josko Gvardiol menjaringkan gol di luar kotak penalti di Madrid kerana pemain pertahanan Real lebih terarah untuk menyekat Haaland.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... k-ketika-layan-real |
|
|
|
|
|
|
| |
|