View: 8205|Reply: 0
|
Guardiola tidak kesal sekalipun tersingkir
[Copy link]
|
|
Sebahagian pemain Manchester City kelihatan kecewa dan muram selepas tersungkur di tangan Real Madrid pada suku akhir Liga Juara-Juara di Stadium Etihad, Manchester awal pagi tadi. – Foto REUTERS
MANCHESTER, England: Pengurus Manchester City, Pep Guardiola tidak kesal sekalipun impian mereka untuk melakar treble kedua berturut-turut dimusnahkan oleh Real Madrid awal pagi tadi pada aksi suku akhir Liga Juara-Juara yang dikuasai sepenuhnya kelab Inggeris itu.
Juara 14 kali Madrid menundukkan juara bertahan 4-3 menerusi penentuan penalti di Stadium Etihad untuk memastikan kemaraan ke separuh akhir menentang Bayern Munich, sekali gus melunaskan dendam selepas City menyingkirkan kelab Sepanyol itu pada separuh akhir tahun lalu dalam laluan memenangi kejuaraan sulung mereka.
"Tahniah kepada Real Madrid, mereka bertahan dengan mantap, dengan kesatuan yang luar biasa," kata Guardiola.
"Kami melakukan segala-galanya. Saya tidak kesal mengenai apa yang sudah kami lakukan. Secara bertahan, menyerang, kami bermain luar biasa di semua bahagian, dalam segala-galanya tetapi malangnya kami tidak mampu menang, jadi itulah yang terjadi."
Selepas merangkul kejuaraan treble pertama mereka – Liga Juara-Juara, Piala FA dan Liga Perdana Inggeris – musim lalu, mereka dilihat berada di landasan untuk muncul pasukan pertama meraih tiga kejuaraan buat tahun kedua berturut-turut.
Penjaga gol Real Madrid, Andriy Lunin (kiri) menyelamatkan sepakan penalti Bernardo Silva ketika penentuan penalti pada suku akhir kedua Liga Juara-Juara di Stadium Etihad, Manchester awal pagi tadi. – Foto REUTERS
Namun di sebalik mendominasi aksi menentang Madrid, meledak 33 percubaan berbanding lapan buat Madrid dan mengambil 18 sepakan sudut berbanding hanya satu buat pelawat, anak buah Guardiola gagal menewaskan lawan mereka.
Kevin De Bruyne menyumbat gol pada minit ke-76 untuk memadamkan gol Rodrygo pada minit ke-12, namun kedua-dua pemain Belgium dan mesin pencetak gol City, Erling Haaland mensia-siakan beberapa peluang menjaringkan gol ketika aksi itu terikat 1-1 dan 4-4 secara agregat.
Kemenangan kelihatan berada dalam genggaman City apabila Luka Modric gagal menyudahkan sepakan penalti pertama Madrid.
Namun momentum berubah apabila tendangan penalti Bernardo Silva menuju tepat ke arah penjaga gol Andriy Lunin, mencetus peluang buat pemain Madrid, Nacho Gonzalez dan Antonio Rudiger untuk memastikan kemenangan.
"Bola sepak adalah mengenai menjaringkan gol dan menerusi sepakan penalti mereka bertindak lebih baik sedikit berbanding kami," kata Guardiola.
"Persembahan dan komitmen serta segala-galanya adalah luar biasa." – REUTERS
https://www.bharian.com.my/sukan ... ekalipun-tersingkir |
|
|
|
|
|
|
| |
|