|
PEMAIN TFC mendengar taklimat video bantuan pengadil oleh penilai pengadil, Azman di Kuala Nerus, petang semalam. FOTO MALIK MUHAMAD
Kuala Terengganu: "Harap tiada lagi isu berbangkit dan bantahan berkenaan mutu pengadilan selepas ini," kata Ketua Pegawai Operasi Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Mohd Syahrizan Mohd Zain.
Beliau berkata demikian selepas Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bakal mencipta sejarah dengan memperkenal dan menyediakan sistem video bantuan pengadil (VAR) dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) bagi musim 2024/2025 yang bakal membuka tirainya pada 10 Mei depan.
Jelas Mohd Syahrizan, penggunaan VAR adalah jawapan terbaik bagi memastikan semua pihak berpuas hati dengan mutu pengadil bertugas bagi mengelak timbulnya perkara yang tidak diingini.
Tambahnya, VAR ini juga dilihat mampu meningkatkan lagi kualiti pasukan yang bertanding kerana pemain lebih yakin mendapat keadilan.
"Tahniah pihak MFL kerana berjaya menyediakan VAR biarpun menelan perbelanjaan yang begitu besar, di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak sendiri, pihak MFL sudah mengadakan dua kali pemeriksaan dan ia tiada masalah.
"Sistem VAR ini akan dipasang dalam masa terdekat, tapi persiapan sistem pihak MFL sudah bersedia, kini hanya menunggu masa sebelum aksi pertama berdepan Perak FC pada 11 Mei ini di Kuala Terengganu.
"Harapan kami agar isu pengadilan ini yang bukan sahaja kita tapi ada beberapa pasukan lain membantah dan menghantar tuntutan kerana ada beberapa keputusan pengadil yang dibuat menimbulkan rasa tidak puas hati tidak lagi berulang.
"Lagipun beberapa perlawanan ujian VAR sebelum ini menampakkan impak yang begitu positif buat pasukan.
"Satu lagi harap dengan adanya VAR ini semua pihak berpuas hati termasuk pemain, jurulatih dan juga peminat dan harap tiada isu besar dan berbangkit," katanya ketika ditemui selepas taklimat VAR kepada pemain dan pihak pengurusan yang dikendalikan Hairul Azlee Mansor daripada MFL dan penilai pengadil, Azman Sulong di Kuala Nerus, petang semalam.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... a-lagi-bantahan-tfc |
|