|
Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp (kiri) dan pemainnya, Harvey Elliott. - Foto AGENSI
LIVERPOOL: Jurgen Klopp mendedahkan satu-satunya perkara yang membuatkan dia kesal pada musim terakhirnya sebagai pengendali Liverpool.
Misi menamatkan karier sembilan tahun di Anfield dengan penuh gemilang tidak menjadi buat Klopp walaupun berjaya memenangi Piala Liga.
Gelaran Liga Perdana Inggeris boleh dianggap sudah di luar jangkauan Liverpool, manakala saingan Liga Juara-Juara Eropah dan Piala FA menyaksikan anak buah Klopp tersingkir di suku akhir.
Masih ada dua perlawanan berbaki buat Klopp sebagai pengendali Liverpool - bertandang ke Aston Villa pada Isnin sebelum melayan kunjugan Wolves pada 19 Mei.
Liverpool sudah mempunyai calon pengganti Klopp, dengan bos Feyenoord, Arne Slot bakal mengambil alih skuad The Reds.
Dalam sidang media menjelang perlawanan menentang Aston Villa, Klopp mendedahkan yang dia berharap dapat memberikan lebih banyak peluang kepada Harvey Elliott untuk beraksi.
"Ia bukannya saya berfikir tentang di mana silap kami sebenarnya.
"Tetapi jika ada satu perkara yang saya kesalkan ialah Harvey tidak bermain lebih kerap," kata Klopp.
Elliott mengumpul 32 penampilan Liga Perdana Inggeris musim ini, tetapi hanya sembilan daripadanya dalam kesebelasan utama.
Hujung minggu lalu, Elliott memulakan permainan dalam kemenangan 4-2 ke atas Tottenham dan menampilkan persembahan cemerlang dengan satu jaringan dan satu umpanan gol.
Pada usia 21 tahun, Elliott masih mempunyai banyak masa untuk mengukuhkan kedudukan dalam kesebelasan utama Liverpool.
Keseluruhan, Elliott mengumpul 117 penampilan dan sudah meledak 10 gol untuk Liverpool sejak menyertai kelab itu dari Fulham pada tahun 2019. - AGENSI
https://www.bharian.com.my/sukan ... lan-utama-musim-ini |
|