|
Pochettino (kiri) dijangka kekal bersama The Blues musim depan. FOTO Reuters
Nottingham: Bos Chelsea, Mauricio Pochettino melakukan yang terbaik untuk menutup khabar angin mengenai masa depannya dengan pasukan London Barat itu mencatat kemenangan 3-2 ke atas Nottingham Forest.
Pochettino berkata, beliau merancang untuk kekal bersama pasukan itu musim depan.
Pochettino sebelum itu memberitahu wartawan: "Jika kita berpecah ia bukan masalah, ia bukan penghujung dunia."
Diminta untuk menjelaskan komennya, Pochettino kelihatan lebih yakin mengenai masa depannya bersama kelab itu.
"Saya berbual secara jujur dalam sidang media. Jika pemilik kelab berpuas hati dengan pekerjaan saya, kami boleh teruskan," katanya.
"Saya sentiasa menjadi jurulatih yang berfikir jangka panjang. Semua bahagian mesti gembira untuk kita menjadi pasukan yang baik untuk bersaing. Saya masih mempunyai satu tahun lagi dalam kontrak saya dan saya berfikir untuk berada di sini."
Chelsea berada di tempat ketujuh dalam carta, menyemarakkan harapan untuk mendapat tempat di Eropah musim depan.
Mereka bangkit daripada ketinggalan menerusi jaringan penyamaan Raheem Sterling pada minit ke-80 dan gol kemenangan Nicolas Jackson dua minit kemudian.
Jackson menanduk masuk hantaran silang daripada ketua pasukan, Reece James, yang beraksi kali pertama dalam tempoh lima bulan selepas menjalani pembedahan hamstring.
James kembali cergas, sekali gus memberi harapan kepada peluangnya untuk mendapat tempat dalam skuad Euro 2024 kendalian Gareth Southgate.
Bagaimanapun, Pochettino mengeluh kepulangannya datang begitu lewat pada musim ini.
"Dia tidak bernasib baik kerana kami berada di penghujung musim dan hanya tinggal dua perlawanan lagi," kata pengendali kelahiran Argentina berusia 52 tahun itu.
"Dia boleh menambah kualiti dan pengalamannya."
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... -tinggalkan-chelsea |
|