GEORGE TOWN - Young Muslim Sport Club (YMSC) bersama Seeni Food and Beverage Sdn Bhd mencipta sejarah apabila berjaya mengedarkan 10,200 pek mi goreng sotong kepada orang ramai selama dua hari bermula Sabtu.
Kejayaan itu membolehkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bersama syarikat tersebut menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBR) di bawah kategori 'Most Mee Goreng Sotong Giveaway'.
Pengiktirafan tersebut disampaikan wakil MBR, Edwin Goh di Padang Kota Lama, di sini yang disaksikan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.
Generasi ketiga pengusaha Seeni Mi Sotong, Syed Muhammad Hafiz Seeni Mohamad, 24 berkata, dia bersama datuk, Sheik Abidin AKM Mustapha, 78 dan bapanya, Seeni Mohamad Sheik Abidin, 46 tidak tidur selama tiga hari bagi menjayakan rekod berkenaan.
Kata anak jati Pulau Pinang itu, ketiga-tiga generasi itu mensasarkan 24 jam untuk menyiapkan kesemua pek makanan tersebut namun berjaya menyiapkannya dalam tempoh 23 jam.
"Hanya kami tiga orang sahaja yang menggoreng kerana tak mahu rasa mi goreng kami 'lari'. Kerja-kerja lain seperti penyediaan bahan dan sos, kami dibantu oleh 122 orang iaitu 72 sukarelawan, 20 kakitangan dan 30 ahli keluarga.
Tiga generasi Seeni Mi Sotong, Syed Muhammad (tengah), Sheik Abidin (kanan) dan Seeni Mohamad menunjukkan sijil pengiktirafan MBR yang baru diterima pada Sabtu.
"Kami bermula sejak Khamis iaitu menyerahkan dokumen dan pembayaran kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang. Pada Jumaat, kami dah mula sediakan kuah dan bahan sebelum mula menggoreng tanpa henti pada Sabtu," katanya ketika ditemui di Padang Kota di sini pada Ahad.
Syed Muhammad berkata, mereka tiga beranak mula menggoreng mi pada jam 5.30 petang, Sabtu.
"Kami menggunakan 1.2 tan mi, 100 kilogram sotong segar, lapan tong gas dan 1 tan sos khas digunakan untuk menyediakan 10,200 pek mi goreng tersebut.
"Alhamdulillah, kami berjaya menyiapkannya dan mengedarkan kepada orang ramai tidak kira bangsa dan agama. Sambutan amat menggalakkan," katanya.
Bercerita mengenai perniagaan keluarganya itu, Syed Muhammad berkata, perniagaan mi goreng sotong yang menggunakan resepi warisan itu diusahakan sejak 47 tahun lalu.
"Datuk memulakan perniagaan di Pangkalan Raja Tun Uda dan kemudiannya berpindah ke Jalan Penang sehingga sekarang. Tujuan kami menyertai program ini adalah untuk mewar-warkan kepada orang ramai bahawa Seeni Mi Sotong tidak sama dengan mi goreng lain.
"Ada yang keliru antara mi goreng kami dengan mi goreng popular lain. Selain itu, objektif kami adalah untuk berkongsi rezeki dengan orang ramai," katanya.
Jelasnya lagi, melalui program itu, syarikat mereka juga telah memperkenalkan produk Seeni Food and Beverage Sdn Bhd kepada orang ramai.
"Produk terbaru kami adalah mi sotong segera yang sudah empat tahun berada di pasaran.
"Produk ini juga dieksport ke luar negara antaranya Dubai, Hong Kong, China dan Singapura," katanya.