Georgetown: Pengawal keselamatan didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh ibunya, 15 Jun lalu.
Tertuduh, Soon Yong Aun, 40, mengangguk faham selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan berikutan kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh Chua Ah Ting, 67, di rumah di Taman Alor Vista Lebuh Relau pada 5.47 petang.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun atau dilanjutkan sehingga 40 tahun serta sekurang-kurangnya 12 kali sebatan jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya M Darrshini dan beliau tidak menawarkan sebarang jaminan.
Darrshini turut mengemukakan kad pesakit luar dan kad ubatan psikiatrik milik tertuduh bagi memohon supaya tertuduh menjalani pemeriksaan di hospital psikiatri.
Majistret kemudian membenarkan tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia selama sebulan sehingga 24 Julai depan sebelum kes disebut semula pada 26 Julai.
Sebelum ini, Harian Metro melaporkan seorang wanita berusia 67 tahun maut dipercayai ditikam dengan gunting.