England mendapat sepakan penalti selepas penyerangnya, Harry Kane dikasari pertahanan Belanda, Denzel Dumfries pada separuh akhir Euro 2024. FOTO/REUTERS DORTMUND: Gary Neville menyelar pengadil susulan keputusan kontroversinya menghadiahkan sepakan penalti kepada England ketika berdepan Belanda.
Harry Kane menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti susulan dikasari Denzel Dumfries selepas percubaannya melewati palang.
Pengadil, Felix Zwayer pada awalnya tidak memberikan sepakan penalti tetapi mengubah keputusannya selepas meneliti insiden itu menerusi monitor Video Bantuan Pengadil (VAR).
Namun Neville percaya keputusan awal Zwayer adalah tepat sekali gus dia mengkritik tindakan Zwayer menghadiahkan sepakan penalti kepada England.
"Saya rasa ini adalah sesuatu yang sangat memalukan. Ia keputusan yang benar-benar memalukan untuk sepakan penalti diberikan seperti itu pada perlawanan yang penting seperti ini.
"Saya masih marah dengan (satu lagi sepakan penalti) sebelum ini iaitu insiden bola terkena tangan Denmark. Itu juga memalukan dan saya masih tidak berpuas hati mengenainya.
"Dia hanya cuba masuk untuk menghalang percubaan. Jadi ia bukanlah penalti dan saya pun fikir tidak ada mana-mana pemain England yang cuba menuntut untuk sepakan penalti.
"Ia bukanlah sepakan penalti tetapi mungkin England bernasib baik."
Sepakan penalti itu jelas memberi impak penting kepada perlawanan itu apabila jaringan minit akhir Ollie Watkins membantu mereka meraih kemenangan 2-1 sekali gus mara ke final Euro 2024. -AGENSI
|