CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 29192|Reply: 1

[Kedah] Tragedi MH17: Ibu memandu 400km ziarah pusara anak

[Copy link]
Post time 18-7-2024 02:08 PM | Show all posts |Read mode
Tragedi MH17: Ibu memandu 400km ziarah pusara anak


Oleh Noorazura Abdul Rahman - Julai 18, 2024 @ 2:02pm [email protected]





Habibah Ismail, 75, ibu kepada Allahyarham Azrina Yakob, ketua pramugari pesawat Malaysia Airlines MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai 2014 yang mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak kapal ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kelompang, Alor Setar. - Foto NSTP/Wan Nabil Nasir





ALOR SETAR: "Walaupun sedekad kehilangan anak, setiap kali tiba tarikh 17 Julai, tanpa rasa lelah makcik sanggup memandu hampir 400 kilometer (pergi balik) untuk ziarah kuburnya di Taiping," kata Habibah Ismail yang kini berusia 75 tahun.

Ibu kepada Ketua Pramugari MH17, Azrina Yakob ini berkata, rindu terhadap anak keduanya itu tidak dapat digambarkan dengan kata-kata dan saban tahun dia menunggu tarikh itu untuk 'bertemu' dan berdoa di pusara Allahyarham.

Katanya, dia masih bersyukur dikurniakan kesihatan yang baik untuk memandu jarak jauh biarpun usianya sudah lanjut.

"Semalam makcik bertolak jam 11 pagi ke Taiping, makcik akan luangkan masa lebih sejam di pusara arwah untuk berdoa dan merapikan rumput, kemudian makcik akan singgah makan dan memandu pulang ditemani anak angkat makcik.

"Kenangan bersama arwah masih segar dalam ingatan, sehingga sekarang makcik masih menjaga dan memandu kereta Honda Jazz yang dibeli arwah sebelum tragedi pesawat MH17 ditembak.

"Makcik tidak pernah sekali pun bermimpi arwah selepas kejadian itu, mungkin dia sudah tenang di sana, cuma makcik rasa terkilan sebelum dia kembali bertugas, makcik tidak tunaikan permintaan dia, dia ajak makcik naik kereta bersamanya untuk pusing-pusing di kawasan kampung," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kelompang, Alor Mengkudu di sini, hari ini.

Tanggal 17 Julai 2014, pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17ditembak jatuh di timur Ukraine sehingga meragut nyawa 298 penumpang dan anak kapal.

Pesawat itu ditembak sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Schiphol di Amsterdam pada jam 12.15 tengah hari (waktu Amsterdam) dan dijadual tiba di Kuala Lumpur pada jam 6.10 pagi (waktu Malaysia) Jumaat, 18 Julai 2014.

Pada Jun 2019, tiga rakyat Rusia iaitu Igor Girkin, Sergey Dubinsky dan Oleg Pulatov, serta seorang rakyat Ukraine Leonid Kharchenko akhirnya didakwa secara in absentia di Mahkamah Daerah The Hague atas pertuduhan membunuh.

Pada 17 Nov 2022, mahkamah itu menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadap Girkin, Dubinsky dan Kharchenko selepas didapati bersalah atas pertuduhan menembak jatuh pesawat MH17 dan menyebabkan kesemua 298 penumpang dan krunya terbunuh, manakala Pulatov dilepaskan atas pertuduhan sama.

Habibah yang juga ibu kepada empat anak berkata, dia masih mengharapakan keadilan untuk arwah anaknya dan kesemua yang terkorban dalam nahas itu berikutan sehingga kini hukuman terhadap penjenayah terbabit tidak dapat dilaksana walaupun disabitkan atas kesalahan itu.

Katanya, walaupun dia tidak faham mengenai undang-undang di negara asing namun penjenayah itusepatutnya perlu dihukum segera.

"Makcik sering mengikuti perkembangan kes ini menerusi televisyen dan media sosial, segalanya masih samar, makcik masih tidak berpuas hati dengan tindakan undang-undang terhadap mereka.

"Mereka sudah menyebabkan ramai kehilangan ahli keluarga, ada penumpang enam sekeluarga (dari Sarawak) maut, bagaimana perasaan ahli keluarga mereka, makcik hanya kehilangan seorang anak, kerana itu lah makcik tetap kuatkan semangat dan masih mengharapkan keadilan untuk semua," katanya yang kini sudah dikurniakan enam cucu.

Habibah berkata dia bersama tiga orang lagi anaknya tidak pernah melupakan Azrina dan sekiranya masih hidup dia kini sudah berusia 51 tahun.

"Anak-anak arwah kini sudah berusia 16 dan 12 tahun, sebelum nahas arwah ada beritahu untuk bekerja di bahagian pengurusan dan tidak mahu lagi terbang kerana memikirkan anak-anaknya yang semakin besar dan akan ke sekolah.

"Hasratnya tidak kesampaian, semua tinggal kenangan, sebagai ibu, makcik sentiasa doakan roh arwah tenang di sana, kami selalu sedekah al-Fatihah untuk Azrina dan arwah suami saya yang meninggal dunia selang dua tahun selepas nahas pesawat itu," katanya.







Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 24-7-2024 10:18 PM From the mobile phone | Show all posts
Sedihnya tengok fail mahkamah mh17
Dah besar waris2 semua...
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

23-11-2024 12:53 PM GMT+8 , Processed in 0.043789 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list