CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 60456|Reply: 0

[Negeri Sembilan] Figura pertama di dunia ajar OKU penglihatan cara solat

[Copy link]
Post time 21-7-2024 08:09 AM | Show all posts |Read mode


DR Mohd Nur Adzam menunjukkan Figura 3D Celik Solat OKU Penglihatan. FOTO Ahmad Hasbi

Nilai: Pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menghasilkan Figura 3D Celik Solat OKU Penglihatan bagi membantu Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan untuk belajar solat.

Produk yang dihasilkan menerusi Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI) itu dilihat berkesan kepada OKU penglihatan kerana golongan itu tidak boleh melihat bagi meniru setiap rukun atau perbuatan dalam solat yang diajar guru.

Penyelaras UMMI USIM, Dr Mohd Nur Adzam Rasdi berkata, berdasarkan kajian dan penyelidikan yang dilakukannya, belum ada mana-mana pihak di dunia yang mencipta produk berkenaan bagi tujuan mengajar solat.

Mohd Adzam berkata, idea awal penciptaan figura berkenaan lahir ketika beliau melakukan penyelidikan bagi pengajian Doktor Falsafah (PhD) mengenai pengajian awal al-Quran Braille pada 2008.

"Ketika penyelidikan itu, saya bersembang dengan guru pendidikan khas mengenai masalah yang dihadapi mereka sebelum timbul isu mengajar murid yang mempunyai masalah penglihatan.

"Saya dimaklumkan bagi murid biasa, mereka boleh meniru perbuatan guru atau rakan malah bagi orang dewasa sekali pun, mereka boleh melihat guru mereka untuk belajar solat," katanya ketika ditemui.

Beliau yang Pensyarah Kursus Aplikasi Braille dalam Pengajian Quran dan Sunnah, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah USIM berkata, figura berkenaan mempunyai banyak kelebihan berbanding bergantung kepada guru.

"Bermula daripada permasalahan itu, saya mula melakukan kajian dan dengan kerjasama pensyarah Fakulti Sains dan Teknologi USIM, Dr Mohd Ifwat Mohd Ghazali dan pasukannya, kami mula menghasilkan figura ini pada 2020.

"Figura ini boleh mengurangkan kebergantungan murid buta terhadap guru. Proses pembelajaran jadi lebih rumit jika seorang guru mengajar ramai murid dan lebih bermasalah jika berbeza jantina.

"Ini kerana mereka perlu menyentuh atau merasa tubuh guru bagi setiap rukun atau perbuatan dalam solat.

"Kelebihan alat ini juga ia senang dibawa. Selain itu, ia salah satu cara pembelajaran yang lebih interaktif bukan saja kepada orang buta, malah kepada anak-anak kecil," katanya.

Beliau berkata, selepas mencetak edisi pertama pada 2020, pihaknya terus mendaftarkan figura itu sebagai harta intelek dan membuat ujian terus kepada OKU penglihatan.

"Ada beberapa kelemahan yang kami kena betulkan termasuk dari segi anggota badan dan ia ditambah baik secara berperingkat sehinggalah produk terakhir yang dihasilkan pada awal tahun ini.

"Pada permulaan penghasilannya kami melalui beberapa cabaran kerana perlu mengimbas manusia dengan setiap rukun menggunakan mesin pengimbas sebelum imejnya dimasukkan ke dalam perisian sebelum dicetak," katanya.

Menurutnya, figura berkenaan dihasilkan dengan mengambil rukun daripada solat Subuh yang mana ia menghasilkan 22 figura secara keseluruhannya kerana solat awal pagi itu terdapat doa Qunut berbanding solat lain.

"Bagi memastikan figura ini betul-betul mengikut amalan Islam di negara ini, ia disemak Timbalan Pengarah Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia (INFAD), Dr Ahmad Wifaq Mokhtar yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang USIM," katanya.

Beliau berkata, pihaknya bersyukur kerana dengan bantuan Dr Mohd Ifwat bersama pasukannya dan sokongan Pengarah UMMI, Prof Madya Dr Norakyairee Mohd Raus, figura itu akan dihasilkan secara komersial.

"Ketika ini kami sedang mencari pengilang untuk menghasilkannya secara acuan. Modal awalnya mungkin agak mahal, namun selepas itu ia lebih jimat dan produknya lebih bermutu.

"Kami mungkin menggunakan material yang lebih kukuh seperti figura mainan kanak-kanak yang ada di pasaran memandangkan yang ada ketika ini kurang tahan lasak," katanya.

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

8-9-2024 12:18 PM GMT+8 , Processed in 0.234855 second(s), 15 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list