ANGGOTA bomba mencari Haqim (gambar kecil) yang masih hilang dihanyutkan ombak di Pantai Batu Layar. FOTO Ihsan Bomba dan Keluarga.
Kota Tinggi: "Hari ini genap 41 hari arwah bapa meninggal dunia akibat sakit tua, tidak sangka adik bongsu kami daripada tujuh beradik pula ditimpa kejadian tidak diingini," kata Nur Diana Abdul Rahim Lee, 50.
Nur Diana berkata, dia menerima panggilan daripada ibunya yang tinggal di Kempas pada 10.30 pagi hari ini, memaklumkan adiknya, Haqim Abdul Rahim Lee, 20, hilang dipukul ombak di Pantai Batu Layar, Punggai di Bandar Penawar di sini.
Menurutnya, dia yang tinggal di Taman Bayu Damai di Pengerang segera ke lokasi kejadian bagi mendapatkan maklumat berkaitan adiknya yang juga pekerja di kedai menjual peralatan sukan.
Katanya, Haqim yang tinggal bersama ibunya memaklumkan dia pergi berkelah di Batu Layar bersama rakan-rakannya.
"Ibu memang menasihatinya supaya tidak mandi di pantai, kebiasaannya dia memang menurut kata ibu.
"Kami difahamkan keempat-empatnya termasuk adik ditelan ombak dan adik serta seorang rakan dihanyut ke kawasan lebih jauh.
"Jenazah rakan adik sudah ditemukan, namun nasib Haqim belum diketahui," katanya.
Nur Diana yang juga anak sulung berkata, Haqim juga rajin berkongsi aktivitinya di kumpulan WhatsApp keluarga termasuk menganjurkan bacaan tahlil di surau bagi arwah bapa mereka, Abdul Rahim Lee Abdullah yang meninggal dunia pada usia 70 tahun.
"Semoga ada keajaiban buat Haqim walaupun kami sedar risiko ditelan ombak di kawasan ini.
"Masih hidup atau tidak, harapan kami adalah pasukan penyelamat mampu menemukannya," katanya.
Nur Diana yang sebelum ini pernah menjadi tumpuan media apabila salah seorang adiknya, Rozzana yang pernah koma di Hospital Myongji, Korea Selatan pada 2021.
Selepas menempuh pelbagai halangan, Nur Diana akhirnya berlepas ke Korea Selatan, namun adiknya menghembuskan nafas terakhir pada 24 November 2021.
|