Alor Setar: Seramai 808 penumpang feri terkandas selepas Syarikat Consortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd membatalkan empat trip feri dari Kuala Kedah dan Pulau Langkawi, hari ini.
Pengurus Besar syarikat feri itu, Kapten Dr Baharin Baharom berkata, ia membabitkan dua trip dari Kuala Kedah ke Langkawi dan dua trip dari Pulau Langkawi ke Kuala Kedah.
Beliau berkata, pembatalan trip dilakukan berikutan cuaca buruk yang menyebabkan alunan ombak besar di tengah laut.
"Dimaklumkan ketinggian ombak lebih kurang 4 meter manakala kelajuan angin lebih kurang 16 hingga 18 knots dan ini boleh membahayakan aktiviti pelayaran feri dan bot kecil.
"Trip yang dibatalkan adalah pada 2.30 petang dari Pulau Langkawi ke Kuala Kedah manakala 5.30 petang dari Kuala Kedah ke Langkawi.
"Selain itu, trip pada 4.30 petang dari Kuala Kedah juga dibatalkan dan trip tempoh yang sama dari Pulau Langkawi ke Kuala Kedah turut dibatalkan," katanya ketika dihubungi hari ini.
Lantaran itu, Baharin berkata, pihaknya membawa 651 penumpang dari Pulau Langkawi pada 5 petang tadi ke Kuala Perlis dan sudah mendarat dengan selamat.
"Kami turut menyediakan trip tambahan laluan ke Pulau Langkawi dan Kuala Perlis pada 6 petang hingga 8 malam ini dari Kuala Perlis.
"Penumpang yang ingin menukarkan tarikh dan masa untuk hari berikutnya boleh membuat atau mengikut proses yang sedia ada," katanya.