Alor Setar: Bagi mengimbau kenangan tahun 60-an, seorang kontraktor mengambil inisiatif membuka kedai kopi berkonsep klasik dengan mempamerkan barangan lama yang ada antaranya berusia lebih setengah abad.
Pemilik Kedai Kopi Chubani, Shahbani Saad, 67, berkata, idea itu tercetus berikutan minatnya yang mendalam terhadap barang lama yang turut diwarisi daripada arwah datuknya.
Menurutnya, dia mahu menzahirkan memori pada zaman kanak-kanaknya dengan pelanggan agar dapat merasai kembali kenangan di masa lalu.
"Terdapat kira- kira 60 barangan antik dipamerkan di kedai saya yang mula beroperasi pada Ogos 2022, sebelum beroperasi saya ambil masa tiga bulan untuk fikir reka bentuk dan ubah suai bangunan ini yang asalnya adalah pejabat saya.
"Semua reka bentuk dalam kedai mengikut kreativiti saya sendiri dan ada barangan yang saya cari sendiri contohnya kerusi kayu yang ada ini diperbuat daripada kayu landasan kereta api," katanya ketika ditemui di kedainya di Jalan Lencong Barat di sini, hari ini.
Bercerita lanjut, bapa kepada dua anak itu berkata minat mengumpul barangan antik berkenaan bermula sejak kira-kira 30 tahun lalu.
"Minat bermula daripada saya belum kahwin lagi, tambahan pula Allahyarham datuk saya, Saud Man juga peminat barangan antik, jadi saya menyambung warisan keluarga," katanya.
Shahbani berkata, antara barangan yang diwarisi daripada Allahyarham datuknya adalah kipas angin, radio dan gobek pinang.
"Ikutkan tu saya ada lebih 100 koleksi barangan antik, yang mahal dan bernilai saya simpan di rumah.
"Di sini, saya pamerkan yang menarik dan kena dengan konsep kedai sahaja," katanya
Menerusi konsep itu, dia sangat berharap pelanggan yang datang dapat mengimbau nostalgia lalu sambil menikmati hidangan dengan tenang.
"Masuk sahaja ke kedai saya, pelanggan akan dapat melihat barangan yang menyebabkan mereka mengimbau kenangan lalu bersama keluarga.
"Contohnya, tin biskut kering yang saya masih simpan di sini adalah biskut yang sering dibeli oleh keluarga generasi terdahulu.
"Zaman dulu kebanyakan kita akan makan biskut kering ni atau orang Kedah panggil roti empat segi. Jadi bila orang mai (datang) makan di sini, tengok tin itu mereka akan teringat kenangan dulu-dulu," katanya.
Selain itu, kedai yang diusahakan turut bersama keluarga turut mempunyai keunikan tersendiri apabila terdapat tandas dalam almari.
"Sebenarnya hendak masuk ke tandas di sini, pelanggan perlu buka pintu almari dahulu. Ia adalah almari lama yang orang dulu-dulu panggil 'setbod'," katanya.
Shabani berkata, dia lihat kedai kami juga jadi tumpuan warga emas dan rakan-rakan dari kaum Cina dan India.
"Mungkin konsep yang kami bawa dekat di hati mereka termasuk menu yang ditawarkan seperti pulut ikan kering dan peknga (lempeng)," katanya.