Butterworth: Kira-kira 1,000 peserta Himpunan Malaysia Madani Jiwa Merdeka menyatakan sokongan kepada kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengutuk pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas Ismail Haniyeh.
Peserta terdiri penyelia kelas latihan, jurulatih, penolong jurulatih dan penggerak persatuan silat cekak seluruh negara itu turut menyokong kenyataan Anwar yang mengecam serangan berterusan rejim Israel ke atas Palestin serta bersolidariti bersama Palestin.
Himpunan anjuran Persekutuan Seni Silat Cekak Pusaka Ustaz Hanafi Malaysia (Silat Cekak Pusaka Hanafi) itu bersempena sambutan Hari Tenaga Pengajar Silat Cekak Pusaka Hanafi 1446H/2024 di Pusat Konvensyen PICCA @Arena Butterworth, di sini, hari ini
Silat Cekak Pusaka Hanafi dalam kenyataan memaklumkan sambutan berkenaan ialah program tahunan bagi menghargai jasa dan sumbangan tenaga pengajar yang membantu mendaulatkan seni budaya bangsa itu.
Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia Cawangan Pulau Pinang Jonathan Freddy P Bagang yang merasmikan himpunan itu merakamkan penghargaan kepada Silat Cekak Pusaka Hanafi yang banyak bekerjasama dengan pihak kerajaan dalam usaha memartabatkan seni silat.
"Silat Cekak Pusaka Hanafi berusaha memartabatkan seni silat sebagai warisan kebangsaan khususnya dalam memelihara keamanan dan kesejahteraan di dalam negara," katanya yang hadir selaku wakil rasmi kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Pada program berkenaan, tenaga pengajar Silat Cekak Pusaka Hanafi menerima Sijil Pentauliahan Jurulatih daripada Pewaris Mutlak Silat Cekak Dr Md Radzi Hanafi sebagai tanda pengiktirafan kepada mereka yang diberi mandat menyampaikan ilmu Silat Cekak Pusaka Hanafi.
Agensi Anadolu melaporkan pemimpin Hamas itu terbunuh dalam serangan udara Israel yang menyasarkan kediamannya di Tehran pada 31 Julai lalu.
Beliau berada di Tehran untuk menghadiri majlis pelantikan Presiden Iran yang baharu iaitu Masoud Pezeshkian.