Butterworth: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu Datuk Seri
Phee Boon Poh yang dimasukkan ke hospital kerana serangan jantung dilaporkan stabil dan sedang dipantau di Unit Penjagaan Rapi (CCU).
Perkara itu dimaklumkan anak perempuannya yang juga kini penyandang kerusi DUN Sungai Puyu Phee Syn Tze.
Syn Tze berkata, keadaan bapanya telah melepasi tahap kritikal dan sudah sedar selepas menjalani pembedahan malam tadi.
"Terima kasih kepada semua atas keprihatinan dan doa kalian untuk ayah saya. Kami berharap semua pihak dapat memberi kami sedikit ruang dan masa.
"Doktor baru sahaja memaklumkan bahawa semua lawatan adalah dilarang untuk mengelakkan jangkitan bakteria.
"Beliau perlu memastikan kadar degupan jantungnya kekal stabil dan sebarang lawatan boleh menjejaskan tekanan darah dan kadar degupan jantungnya," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Jelasnya, beliau memohon maaf kerana tidak dapat membaca dan membalas semua kiriman mesej yang dihantar kepadanya.
"Bagaimanapun, kami sekeluarga menghargai keprihatinan semua orang terhadap ayah saya," katanya.
Terdahulu, Boon Poh, 72 dibawa ke hospital sejurus dilaporkan terjatuh dirumahnya kira-kira jam 11.45 malam kelmarin ekoran serangan jantung.
Ahli politik veteran DAP yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Kebajikan Pulau Pinang memegang jawatan ADUN selama empat penggal sebelum bersara pilihan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lalu.