Alor Setar: Seorang wanita berusia 60 tahun mengalami kerugian kira-kira RM6,000 selepas diperdaya seorang lelaki tidak dikenali yang melarikan rantai emas miliknya di sebuah klinik kesihatan di daerah ini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, wanita itu mendakwa lelaki terbabit menghampirinya ketika dia sedang menunggu untuk mengambil ubat di klinik berkenaan jam 8 pagi.
Beliau berkata, lelaki itu menawarkan rawatan tradisional kepada mangsa namun wanita itu menolaknya tetapi suspek tetap mendekati mangsa sebelum beredar beberapa minit selepas itu.
"Selepas mangsa selesai berurusan di klinik itu, wanita itu mendapati rantai leher emas yang dipakai sudah hilang dan mengesyaki rantai miliknya dibawa lari oleh suspek.
"Ini kerana sebelum itu suspek dikatakan menegur rantai leher emas mangsa kelihatan dipakai longgar, dan kemudian bertindak memegang rantai mangsa seolah mengetatkannya.
"Akibat kejadian ini, pengadu mengalami kerugian anggaran RM6,000 dan mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Kota Setar jam 12.20 tengah hari semalam," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Siti Nor Salawati berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Beliau berkata, pihak polis sedang giat mengesan suspek iaitu seorang lelaki berusia sekitar 60-an yang mempunyai berketinggian anggaran 152 meter.
"Sehubungan itu polis meminta kerjasama orang ramai sekiranya mempunyai maklumat berkenaan suspek, untuk tampil memberi maklumat kepada pihak polis dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar di talian 047747222 atau mana mana balai polis berhampiran," katanya.