Suri rumah jana pendapatan hasilkan cekak rambut berinspirasi Jalur Gemilang
Oleh Zuliaty Zulkiffli - Ogos 8, 2024 @ 6:01pm [email protected]
Nurzulaikha menunjukkan cekak rambut berinspirasikan Jalur Gemilang yang dijualnya sempena Hari Merdeka tahun ini. - Foto NSTP/Zuliaty Zulkiffli
JERLUN: Seorang suri rumah tidak menyangka cekak rambut berinspirasi Jalur Gemilang dihasilkannya mendapat permintaan tinggi terutama kanak-kanak.
Nurzulaikha Johari, 29, berkata, pada mulanya dia menghasilkan cekak rambut itu sekadar suka-suka dan mempelajari cara pembuatannya secara dalam talian di aplikasi Tik Tok.
Katanya, dia mula menghasilkan cekak rambut berkenaan sejak minggu lalu dan mempromosikannya melalui aplikasi media sosial Facebook.
"Setiap cekak dihasilkan itu menggunakan warna merah, putih, kuning dan biru serta dijual pada harga RM15 setiap satu.
"Antara corak yang dihasilkan, termasuk bunga raya, bunga kecil dan pelbagai jenis corak lain mengikut cita rasa kanak-kanak.
"Kebanyakan yang menempah cekak rambut ini ialah ibu bapa untuk anak mereka yang menyertai pertandingan di sekolah sempena Hari Merdeka," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kuala Jerlun, di sini, hari ini.
Menurut Nurzulaikha, dalam seminggu dia menjual 30 cekak rambut dan kebanyakan dihantar dari rumah ke rumah.
Katanya, cekak rambut berinspirasi Jalur Gemilang itu turut dibeli pelanggan dari Perak dan Kuala Lumpur dengan penghantaran menggunakan khidmat kurier.
"Alhamdulillah, dengan menjual cekak rambut Jalur Gemilang ini dapatlah saya membantu suami, Mohd Yusof Bakar, 34, yang bekerja sebagai nelayan bagi menyara keluarga dan membesarkan empat anak kami yang berusia tiga hingga 10 tahun," katanya.
Nurzulaikha yang masih menerima tempahan berkata, dalam sehari dia mampu membuat 10 cekak rambut dan setiap satu mengambil masa kira-kira 30 minit untuk disiapkan.
https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2024/08/1282183/suri-rumah-jana-pendapatan-hasilkan-cekak-rambut-berinspirasi-jalur
|