Polis pintas cubaan seludup pikap curi ke negara jiran
Oleh Aizat Sharif - Ogos 8, 2024 @ 8:32pm [email protected]
Tindakan pantas polis IPD Padang Besar berjaya halang pikap Toyota Hilux yang dicuri di Kampa, Perak daripada diseludup ke negara jiran. - Foto PDRM PERLIS
PADANG BESAR: Tindakan pantas polis mengesan kenderaan pikap yang baru dicuri berjaya menghalang kenderaan berkenaan diseludup ke negara jiran.
Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd Shokri Abdullah berkata polis turut menahan seorang lelaki bersama kenderaan berkenaan petang kelmarin.
Beliau berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar menerima maklumat berhubung kecurian kenderaan pikap jenis Toyota Hilux berwarna perak yang dicuri di Kampar, Perak.
Beliau berkata, maklumat itu kemudian mendedahkan bahawa kenderaan itu dikesan sedang menghala ke utara Semenanjung Malaysia.
"Sehubungan itu, kita bertindak menghubungi Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis dan Kedah untuk tujuan hebahan berkenaan pergerakan pikap yang dicuri itu.
"Pada masa yang sama, kita turut menggerakkan aset dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) IPD Padang Besar termasuk kereta peronda serta Unit Rondaan Bermotosikal (URB) kita di sekitar kawasan Padang Besar dan semua pintu sempadan dikawal ketat," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Sekitar jam 2.40 petang, beliau berkata, kenderaan curi itu dikesan di sebuah stesen minyak di kawasan Titi Tinggi, Padang Besar.
"Selepas pengesanan dibuat, kita menyerbu dan berjaya menahan dan menangkap seorang lelaki berusia 27 tahun yang dipercayai memandu kenderaan itu.
"Hasil semakan mendapati suspek mempunyai 10 rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah lain serta saringan awal air kencing suspek turut mengesahkan positif dadah jenis methapathemine," katanya.
Mohd Shokri berkata, pihaknya turut mendapati suspek sudah pun menukar nombor pendaftaran palsu pada pikap berkenaan.
"Siasatan juga mendapati pemilik pikap itu sudah membuat laporan kehilangan kenderaan berkenaan pada hari yang sama di IPD Kampar.
"Tangkapan dan rampasan kemudian diserahkan kepada pihak polis IPD Kampar bagi tujuan siasatan lanjut," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2024/08/1282254/polis-pintas-cubaan-seludup-pikap-curi-ke-negara-jiran
|