CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 23652|Reply: 0

[Kedah] Percaya jampi bomoh, pesakit kanser rugi ribuan ringgit

[Copy link]
Post time 9-8-2024 01:18 PM | Show all posts |Read mode
Percaya jampi bomoh, pesakit kanser rugi ribuan ringgit


Oleh Zuliaty Zulkiffli - Ogos 9, 2024 @ 12:03pm [email protected]







Pengerusi CSM, Zuraini Kamal (kanan) mendengar keluhan pesakit kanser yang dikenali sebagai Milah, 50-an yang pernah menggunakan khidmat bomoh menyebabkan dia kerugian hampir RM1,000. NSTP/ZULIATY ZULKIFFLI





ALOR SETAR: Akibat percaya rawatan dan jampi bomoh lebih mujarab berbanding rawatan moden selain takut dengan rawatan di hospital, segelintir pesakit kanser sanggup berhabis puluhan ribu ringgit.

Ada pesakit yang terpaksa menjual rumah dan barang kemas untuk membayar pengeras dan upah, namun penyakit dihidapi tidak sembuh malah lebih teruk.

Pesakit yang hanya mahu dikenali sebagai Che Intan berusia 60-an berkata dia kini trauma selepas kerugian lebih RM60,000 akibat terpedaya dengan bomoh yang meminta menyediakan pelbagai barangan tidak masuk akal.

Katanya, dia terpaksa menjual rumah dan barang kemas hanya semata-mata mahu membayar pengeras dan barangan yang diminta bomoh pada 2011 dengan harapan kanser dialami hilang.

Seorang pesakit kanser paru-paru yang hanya dikenali sebagai Milah berusia 50-an berkata, sejak disahkan menghidap kanser payu dara tahap empat tahun lalu, dia berjumpa dengan dua bomoh di Alor Setar dan Perak untuk mendapatkan bantuan.

Katanya, dia mengetahui kewujudan bomoh berkenaan melalui rakannya yang mendakwa dapat menyembuhkan penyakit itu.

"Selepas doktor sahkan saya menghidap kanser pada 2020, terus saya jumpa bomoh pertama di Alor Setar yang mendakwa dia boleh menyembuhkan penyakit saya ini.

"Dia tetapkan harga untuk membeli set rawatan seperti daun sireh, bedak sejuk dan air jampi yang berharga RM200 untuk setiap kali rawatan.

"Harga set rawatan itu mengikut penyakit dan saya perlu datang berubat secara berulang kali," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Milah berkata, selepas mengamalkan set rawatan jampi bomoh berkenaan, dia tidak berasa sebarang perubahan malah ketulan di payu daranya makin membengkak walaupun sudah tiga kali mendapatkan khidmat bomoh itu.

"Saya berjumpa bomoh kanser di Perak sebagai ikhtiar, pengeras yang ditetapkan juga sama iaitu RM200 untuk setiap kali rawatan namun kesannya langsung tidak nampak.

"Bomoh itu tidak membenarkan pesakitnya melakukan rawatan kimoterapi kerana mendakwa dia mampu mengubatinya," katanya yang kerugian RM1,000.

Sementara itu, Pengerusi Cancer Survivors Malaysia (CSM), Zuraini Kamal, menasihatkan pesakit kanser supaya meneruskan rawatan di hospital yang menggunakan rawatan moden canggih dan berteknologi tinggi.

Katanya, pesakit tidak boleh mempercayai 100 peratus rawatan bomoh hanya kerana takut untuk mendapatkan rawatan di hospital.

"CSM mempunyai ahli seramai 30,000 ahli yang terdiri daripada pesakit kanser dan ada sebahagian daripada mereka mengaku pernah menggunakan khidmat bomoh tetapi berhenti selepas tidak yakin.

"Ada yang kerugian sehingga RM60,000 dan terpaksa menjual rumah untuk membayar khidmat bomoh tetapi penyakit yang dialami makin teruk.

"Malah ada juga pesakit yang langsung tidak ke hospital dan hanya bergantung pada rawatan bomoh malah kebanyakannya sudah meninggal dunia," katanya.

Zuraini berkata, pesakit kanser mendakwa mereka mengetahui kewujudan bomoh kanser melalui media sosial, rakan atau ahli keluarga.

Katanya, antara alasan mereka terpaksa bertemu bomoh, mereka takut mati selain rawatan kemoterapi yang menyakitkan menyebabkan mereka mudah percaya pada bomoh.

"Pesakit sepatutnya mendapatkan rawatan di hospital sekiranya kanser masih di peringkat awal dan tidak perlu bercampur aduk dengan rawatan bomoh yang mencurigakan dengan air jampi atau kemenyan kerana ia boleh mendatangkan syirik," katanya.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/08/1282441/percaya-jampi-bomoh-pesakit-kanser-rugi-ribuan-ringgit






Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

23-11-2024 08:45 AM GMT+8 , Processed in 0.359358 second(s), 12 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list