Nibong Tebal: Polis mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian membabitkan kucing tergantung di belakang kenderaan pacuan empat roda di Simpang Ampat, di sini, seperti tular di media sosial.
Laporan itu dibuat oleh pemandu kenderaan terbabit, 5.29 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Superintendan Chong Boo Khim, berkata, lelaki itu memberitahu bahawa dia telah menjumpai kucing jalanan berkenaan di rumahnya dalam keadaan tidak terurus.
"Dia kemudian mahu membawa kucing itu ke klinik haiwan bagi tujuan memandulkan haiwan berkenaan.
"Semasa dalam perjalanan ke klinik, pengadu tidak menyedari kucing yang diletakkan di bahagian belakang kenderaanya cuba melompat keluar sehingga berada dalam keadaan tergantung.
"Pengadu hanya menyedari selepas sampai di klinik haiwan dan membukakan ikatan tali di leher kucing terbabit," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Jelasnya, kes dirujuk kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Pulau Pinang untuk tindakan selanjutnya.
"Pihak polis menasihati orang ramai agar tidak memanipulasikan kes tular yang boleh menyebabkan kekeliruan.
"Orang ramai disarankan untuk mendapatkan maklumat dari sumber yang sahih dan tidak menyebarkan maklumat yang tidak disahkan kebenarannya," katanya.
Terdahulu, tular gambar kucing tergantung di belakang pacuan empat roda sehingga mendatangkan kemarahan masyarakat.
Susulan itu, Persatuan Haiwan Malaysia menggesa DVS
meneruskan siasatan terhadap insiden yang berlaku.
Presiden Persatuan Haiwan Malaysia, Arie Dwi Andika dilaporkan berkata, ia demi menegakkan sistem keadilan jenayah haiwan dan sebagai satu pelajaran supaya pemilik berhati-hati dalam mengurus dan mengendalikan haiwan bawah tanggungjawab mereka.