Sejam kejar sebelum tahan bot Indonesia ceroboh perairan negara
Oleh Zuhainy Zulkiffli - Ogos 10, 2024 @ 2:55pm [email protected]
Bot nelayan yang ditahan kerana menceroboh perairan negara. (Foto kecil) lima kru warga Indonesia). - Foto ihsan Maritim Malaysia
GEORGETOWN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan bot nelayan dikendali lima kru warga Indonesia kerana menceroboh perairan negara.
Pengarah Maritim negeri, Kepten Maritim Razali Kasim berkata, penahanan dilakukan ketika aset KM Burau melaksanakan operasi di sekitar 55 batu nautika Barat Daya Pulau Kendi pada jam 11.45 pagi semalam.
Terdahulu pasukan mengesan bot di perairan Malaysia dalam keadaan mencurigakan.
"Kapal penguat kuasa Maritim Malaysia menghampiri bot terbabit dan mengarahkan mereka untuk pemeriksaan lanjut.
"Bot berkenaan enggan bekerjasama sebelum dikejar hampir sejam dan ditahan untuk penggeledahan," katanya melalui kenyataan.
Razali berkata, pemeriksaan mendapati bot terbabit tidak mempunyai nombor pendaftaran dengan anggaran 150 kilogram hasil tangkapan ikan turut dirampas.
"Semua kru berusia 25 hingga 40 tahun gagal mempamerkan dokumen pengenalan diri sah ditahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Perikanan 1986," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2024/08/1282954/sejam-kejar-sebelum-tahan-bot-indonesia-ceroboh-perairan-negara
|