40 mahasiswa selami kehidupan nelayan di Pulau Tuba
Oleh Hamzah Osman - Ogos 12, 2024 @ 12:24pm [email protected]
Pegawai Daerah Langkawi, Mohamad Subhi Abdullah (duduk depan, tengah) bergambar kenangan bersama sebahagian 40 mahasiswa yang menyertai Program Baktisiswa Perdana Dewan Undangan Negeri Kuah di Pulau Tuba pada majlis pelepasan di Pejabat Daerah dan Tanah Langkawi. NSTP/Hamzah Osman
LANGKAWI: Seramai 40 mahasiswa teruja diberi peluang menyelami budaya dan rutin kehidupan masyarakat nelayan menerusi Program Baktisiswa Perdana Dewan Undangan Negeri Kuah di Pulau Tuba di sini, mulai hari ini.
Sepanjang program seminggu, mahasiswa kelahiran negeri ini mewakili pelbagai Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) akan tinggal bersama keluarga angkat masing-masing di Desa KEDA Teluk Berembang, di pulau itu.
Peserta, Muhammad Taqiuddin Mohd Bakhri, 24, dari Universiti Antarabangsa Albukhary (AIU), mengakui teruja dapat menyertai program itu kerana ia memberi peluang kepadanya menyelami rutin kehidupan nelayan.
"Sepanjang menjadi anak angkat, saya berazam membabitkan diri dalam kerja rutin sebagai nelayan, merasai kepayahan mencari sesuap nasi, mengalami sendiri saat dilambung ombak ketika menangkap ikan di laut.
"Pengalaman seperti ini tidak diperoleh ketika belajar di universiti, jadi saya akan gunakan sepenuhnya tempoh seminggu ini untuk bergaul dengan masyarakat di Pulau Tuba," katanya yang menetap di Kulim, Kedah.
Rakannya, Aifaa Najihah Amir Wardi, 20, dari Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, dia teruja sebaik mengetahui Baktisiswa yang disertainya akan berlangsung di Pulau Tuba yang sinonim dengan kehidupan nelayan.
"Saya sudah bersedia dari segi mental dan fizikal untuk tinggal bersama keluarga angkat dan menimba pengalaman dalam aktiviti rutin kehidupan nelayan pantai yang bekerja 'kais pagi makan pagi, kais petang makan petang'.
"Difahamkan pemandangan alam semula jadi di Pulau Tuba cantik dan segar, jadi saya akan mengambil peluang untuk merakam seberapa banyak gambar sebagai kenangan," katanya yang juga mahasiswa bidang Sains Komputer.
Pelepasan peserta disempurnakan Pegawai Daerah Langkawi, Mohamad Subhi Abdullah di Pejabat Daerah dan Tanah Langkawi di sini, hari ini, yang turut dihadiri, Ahli Dewan Undangan Negeri Kuah, Amar Pared Mahamud.
Mohamad Subhi berkata, kumpulan 40 mahasiswa itu adalah sebahagian 500 mahasiswa seluruh negeri yang menyertai Program Baktisiswa Perdana anjuran kerajaan negeri membabitkan 13 Dewan Undangan Negeri (DUN).
https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2024/08/1283724/40-mahasiswa-selami-kehidupan-nelayan-di-pulau-tuba
|