Edited by sfhzuraz at 14-8-2024 12:22 AM
Penganggur rugi RM174,000 ditipu skim pelaburan tidak wujud
13 Ogos 2024 10:05pm
Mangsa berusia 33 tahun diperkenalkan dengan skim pelaburan itu oleh seorang rakannya dan melabur sebanyak RM10,000 bermula Disember 2018. Foto hiasan
ALOR SETAR - Seorang penganggur mengalami kerugian lebih RM174,000 akibat terpedaya dengan skim pelaburan tidak wujud di Kuala Ketil, Baling sejak enam tahun lepas.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, Superintenden Loi Yew Lik berkata, mangsa berusia 33 tahun diperkenalkan dengan skim pelaburan itu oleh seorang rakannya dan melabur sebanyak RM10,000 bermula Disember 2018.
"Pengadu telah membuat bayaran modal sebanyak 21 kali transaksi ke akaun bank sama hingga berjumlah RM174,270 dan tidak mendapat sebarang keuntungan.
"Pengadu dijanjikan mendapat keuntungan dalam tempoh masa sebulan, namun sehingga laporan polis dibuat pengadu tidak menerima sebarang pulangan dan mulai curiga serta syak dirinya ditipu," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Kuala Ketil pada jam 5.49 petang semalam.
Yew Lik berkata, siasatan polis mendapati pelaburan itu adalah palsu dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
"Orang ramai dinasihatkan agar berhati-hati dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan keuntungan yang lumayan agar tidak menjadi mangsa sindiket pelaburan yang tidak wujud," katanya.
Beliau berkata, semakan boleh dibuat dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan laman sesawang https://semakmule.rmp.gov.my sebelum membuat pelaburan. - Bernama
https://www.sinarharian.com.my/article/680076/berita/semasa/penganggur-rugi-rm174000-ditipu-skim-pelaburan-tidak-wujud
|