Alor Setar: Pengusaha mesin jentuai padi di Kedah dan Perlis perlu menukar segera kaedah bayaran upah sewa jentera itu yang dianggap semakin 'tidak masuk akal' dan membebankan petani.
Pengerusi Badan Bertindak Petani Mada, Che Ani Mat Zain berkata, ini berikutan terdapat laporan mengatakan pengusaha terbabit bakal menaikkan sewa daripada RM140 serelung (0.3 hektar) pada musim lalu kepada RM200 bermula musim ini.
Menurutnya, pengusaha mesin jentuai seharusnya mengguna pakai kaedah bayaran di Selangor dan Perak ketika ini apabila upah adalah pada kadar RM80 per tan padi pada musim lalu.
"Jika kenaikan sewa mesin jentuai ini berlaku, ia sememangnya tidak masuk akal kerana berlaku peningkatan upah sehingga RM60 bagi setiap relung. Adakah mereka pakai diesel sampai RM60 serelung?
"Itu jika serelung, secara kebiasaannya pesawah memiliki antara lapan hingga 10 relung sawah, maka kos kami akan meningkat antara RM360 hingga RM600. Keadaan ini memang membebankan dan tidak setimpal harga jualan padi," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Berikutan itu, Che Ani meminta bayaran sewa mesin jentuai di seluruh negara ditetapkan pada kadar sama iaitu mengikut jumlah tuaian padi bagi membolehkan situasi 'menang-menang' kepada semua pihak.
Katanya, kaedah bayaran mengikut jumlah tuaian padi juga akan mengelak berlaku keadaan 'padi tumpah' akibat pemandu mesin jentuai tidak berhati-hati ketika mengendalikan jentera terbabit.
"Pada musim lalu, upah sewa mesin jentuai di Selangor dan Perak adalah RM80 per tan padi. Berikutan kenaikan harga diesel, kita jangka kadar itu mungkin naik kepada RM100 per tan pada musim menuai tahun ini.
"Jadi pesawah di Kedah dan Perlis meminta pengusaha mesin jentuai mengenakan kadar sama kepada kami. Mereka tidak ada alasan kerana mesin jentuai dari Kedah turut dibawa ke Selangor dan Perak bagi melakukan kerja menuai," katanya.
Mengulas impak musim kemarau yang melanda Kedah dan Perlis sebelum ini, Che Ani berkata, ia dijangka tidak memberi kesan kepada pengeluaran padi kerana berlaku selepas kerja menanam benih selesai sekitar April lalu.
"Secara purata, pesawah di Kedah dan Perlis mampu menghasilkan kira-kira enam tan padi per hektar. Musim kemarau baru-baru ini, berlaku ketika padi sudah masuk ke usia antara 70 ke 80 hari, jadi pokok sudah semakin matang.
"Kita juga tidak mengalami masalah bekalan air ketika awal musim, jadi hasil padi musim ini dijangka kekal seperti biasa. Cuma kebimbangan kita adalah air tidak mencukupi bagi memulakan musim menanam baharu pada Oktober depan," katanya.
Kerja menuai padi bagi musim 1/2024 dijangka bermula secara berperingkat antara hujung bulan ini sehingga September depan sebelum kerja menanam padi bagi musim 2/2024 dijadual bermula awal Oktober depan.