67 kenderaan konvoi bawa Jalur Gemilang keliling Langkawi
Oleh Hamzah Osman - Ogos 15, 2024 @ 5:58pm [email protected]
Pegawai Daerah Langkawi, Mohamad Subhi Abdullah (bertopi putih) mengedarkan Jalur Gemilang kepada peserta yang menyertai Konvoi Kembara Jiwa Merdeka (KKJM) 2024 sejauh 32.8 kilometer mengelilingi Langkawi di pekarangan Pejabat Daerah dan Tanah Langkawi. NSTP/Hamzah Osman
LANGKAWI: Sebanyak 67 kenderaan berkonvoi sambil mengibarkan Jalur Gemilang pada Konvoi Kembara Jiwa Merdeka (KKJM) 2024 mengelilingi pulau ini selama tiga jam di sini, hari ini.
Pelepasan peserta konvoi pada jam 9 pagi disempurnakan Pegawai Daerah Langkawi, Mohamad Subhi Abdullah di pekarangan Pejabat Daerah dan Tanah Langkawi di sini.
Ketika ditemui, Mohamad Subhi berkata, angka 67 bagi jumlah penyertaan konvoi itu dipilih bagi menyamai sambutan Hari Kebangsaan ke-67 pada tahun ini.
"Peserta jelajah sejauh 32.8km sambil kibar Jalur Gemilang iaitu hampir separuh keluasan Langkawi membabitkan 18 'check point' terdiri produk pelancongan dan tempat tumpuan bagi menzahirkan semangat patriotisme.
"Konvoi ini juga adalah sebahagian daripada usaha untuk menguar-uarkan dan menyemarakkan kempen Kibar Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2024 dalam kalangan penduduk dan pelancong.
"Pada majlis penutupan di Dataran Tanjung Rhu, peserta konvoi dan orang ramai yang hadir disajikan dengan nyanyian lagu patriotik, ikrar Rukunegara dan Kuiz Kenegaraan," katanya.
Beliau berkata, kerjasama ketua-ketua jabatan kerajaan persekutuan dan negeri membuktikan keakraban, perpaduan dan kesungguhan usaha untuk menyemarakkan sambutan Bulan Kemerdekaan tahun ini.
Yang turut hadir, Pengarah Perpaduan negeri, Ahmad Puat Junus.
https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2024/08/1285293/67-kenderaan-konvoi-bawa-jalur-gemilang-keliling-langkawi
|