Sungai Petani: Polis menahan dua lagi lelaki untuk membantu siasatan berhubung kejadian sekumpulan lelaki menyerang pekerja cuci kereta dan pengawal keselamatan di Bedong, kelmarin yang menyebabkan seorang daripadanya maut.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, dua lelaki berusia 20-an hingga 30-an itu ditahan di Bedong, petang semalam.
Beliau berkata, penahanan itu menjadikan keseluruhan 10 orang ditahan berhubung kes ini.
"Dua lelaki itu direman selama empat hari bermula hari ini sehingga 20 Ogos ini untuk membantu siasatan bagi Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
"Hasil siasatan awal mendapati, kejadian itu dipercayai bermotifkan dendam namun siasatan masih diteruskan," katanya ketika ditemui pada Program Townhall Discussion Kontinjen Kedah, di sini, hari ini.
Hadir sama dalam program itu, Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh.
Dalam pada itu, Wan Azharuddin berkata, pengawal keselamatan yang cedera akibat ditetak masih dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) dan berada dalam keadaan stabil.
Dalam kejadian kelmarin,
pekerja cuci kereta mautmanakala pengawal keselamatan parah selepas dipercayai ditetak di kepala dan badan di lokasi berasingan di Bedong.
KETUA Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh (dua kiri) menyampaikan cenderahati kepada Pengarah JPJ Kedah, Stien Van Lutam (tengah) pada Program Townhall Discussion Kontinjen Kedah. FOTO Zuliaty Zulkiffli