Sik: Lelaki terpaksa menahan sakit hampir seminggu selepas cincin suasa di jari manis tangan kanannya itu gagal ditanggalkan.
Berikutan itu, dia datang sendiri untuk mendapatkan bantuan anggota di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) di sini, bagi membantu menanggalkan cincin berkenaan pada 12.09 tengah hari.
Ketua BBP Sik Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil berkata, lelaki tempatan berusia 40 tahun yang menetap di Kampung Melaka, Mukim Sok itu memaklumkan jarinya sakit hampir seminggu.
Menurutnya, keadaan itu menyebabkan jari mangsa melecet dan luka sehingga menyebabkan ia berbau busuk.
"Disebabkan tidak tahan menahan sakit, dia terus datang sendiri ke balai untuk meminta bantuan anggota kami.
"Bagaimanapun, melihat keadaan jari mangsa yang membengkak dan hampir putus, ketua operasi yang bertugas, Matzuki Mat Noh mengarahkan lelaki itu ke Unit Kecemasan Hospital Sik (HS) terlebih dahulu untuk pemeriksaan awal.
"Sejurus selepas itu, sepasukan anggota seramai enam orang ke turut ke hospital bagi membantu petugas kesihatan dengan menggunakan peralatan khas kebombaan bagi tujuan memotong cincin itu," katanya ketika dihubungi hari ini.
Zulkhairi berkata, pihak bomba mengambil masa hampir 30 minit untuk melakukan operasi itu yang dilakukan dengan berhati-hati bagi mengelakkan kecederaan serius pada jari mangsa.
Beliau berkata, mangsa kemudiannya diserahkan kepada petugas kesihatan untuk tindakan lanjut.
"Hasil soal siasat yang dilakukan, lelaki itu memberitahu dia mengambil masa terlalu lama iaitu hampir seminggu untuk mengeluarkan cincin yang tersekat kerana pada mulanya dia cuba melakukan sendiri untuk menanggalkan cincin itu namun akhirnya gagal dan jari semakin membusuk.
"Saya menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri dan tidak memaksa untuk memakai cincin yang ketat untuk elak kecederaan.
"Dapatkan segera bantuan daripada pihak Bomba untuk memudahkan operasi dilakukan," katanya.