JPN Pulau Pinang tunggu laporan isu poster kemerdekaan
OlehMOHD ISKANDAR OTHMAN
17 Ogos 2024 05:19pm
Poster yang tular memaparkan gambar tiga anggota tentera China.
GEORGE TOWN - Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang sedang menunggu laporan berhubung isu poster pertandingan buku skrap sempena bulan kemerdekaan yang memaparkan gambar tiga anggota tentera China seperti tular di laman sosial.
Pengarahnya, Datuk Abdul Said Hussain berkata, guru yang menghasilkan poster terbabit telah memohon maaf pada Jumaat.
"Guru tersebut sudah mohon maaf atas kesilapan yang amat mengecewakan petang semalam (Jumaat) dan saya sedang tunggu laporan untuk dihantar ke Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)," katanya ringkas ketika dihubungi di sini.
Sejak Jumaat, tular poster pertandingan buku skrap sempena bulan kemerdekaan yang bertemakan tokoh kemerdekaan di Malaysia.
Bagaimanapun poster yang turut memaparkan gambar tiga anggota tentera China menjadi pertikaian dan perdebatan ramai sehingga memaksa pihak sekolah membuat penjelasan dan permohonan maaf.
Meskipun penjelasan dan permohonan maaf telah dibuat namun ramai yang menggesa agar tindakan tegas diambil terhadap pihak yang menghasilkan poster berkenaan agar menjadi pengajaran kepada orang lain.
https://www.sinarharian.com.my/article/680766/edisi/utara/jpn-pulau-pinang-tunggu-laporan-isu-poster-kemerdekaan
|