Yan: Pengalaman terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tragedi kepala air di Titi Hayun, tiga tahun lalu, antara tugas mencabar buat anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar, Mohd Azrin Abdullah, 31.
Ketika itu, dia baru dua tahun berkhidmat dalam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Katanya, sebaik menerima panggilan kecemasan, dia bersama pasukannya bergegas dari Alor Setar ke Yan pada 8 malam, sebaik pertukaran syif dilakukan.
"Sebaik tiba di lokasi, saya dan empat anggota dari BBP Alor Setar mendapati keadaan di kawasan itu gelap akibat bekalan elektrik terputus dan hujan renyai.
"Ketika itu, pasukan kami dibahagikan tugas dengan pasukan dari BBP Yan untuk melakukan operasi SAR bagi mencari lima mangsa yang dilaporkan hilang di kawasan Titi Hayun itu disebabkan kepala air.
"Pasukan BBP Alor Setar diarahkan melakukan pencarian di kawasan bawah Titi Hayun, manakala pasukan BBP Yan mencari di bahagian atas (Titi Hayun).
"Dengan bantuan waris mangsa, kami mencari di kawasan berhampiran rumah dusun tempat mereka berteduh dan ternampak jasad pertama iaitu mangsa pertama, pak cik Zainol Morad yang ketika itu berada di celah batu sebelum memaklumkannya kepada penyelia," katanya ketika ditemui di Titi Hayun, di sini, hari ini.
Mohd Azrin berkata, tidak lama selepas itu, waris keluarga mangsa memaklumkan seorang lagi mangsa di kawasan itu dan yakin individu itu masih hidup dan perlu mencarinya dengan segera.
Katanya, waris kemudian memaklumkan terdengar suara sayup-sayup di bawah timbunan kayu dan meminta bomba mencarinya.
"Saya kemudian memaklumkan kepada penyelia kami di situ supaya mendapatkan bantuan daripada pasukan khas Must Team JBPM Kedah dengan segera untuk menyelamatkan mangsa.
"Ketika itu, arus air masih deras dan kami ternampak tangan mangsa dari bawah timbunan pokok besar itu sebelum membuka ruang bagi membolehkan mangsa bernafas sementara bantuan lain sampai," katanya.
Menurutnya lagi, dia dan anggota bomba menggunakan peralatan seperti gergaji berantai, parang dan peralatan lain seperti tali untuk memotong dahan pokok bagi membolehkan mereka menyelamatkannya.
Pada kejadian kepala air 18 Ogos 2021 itu, enam orang terkorban, manakala 2,000 penduduk di beberapa kampung di kawasan di daerah ini, serta Merbok di Kuala Muda, terjejas selepas kediaman mereka dipenuhi banjir lumpur.