Kulim: Tiada alasan untuk pelajar tidak menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi kerana pelbagai aliran terutama kemahiran disediakan untuk mereka.
Semangat untuk mengubah hidup diri dan keluarga perlu bermula dari awal dengan peluang yang ada perlu digunakan sebaik mungkin demi masa depan lebih baik.
Dekan UniKL MSI Kulim Dr Mohd Nizam Ahmad berkata, dengan adanya minda untuk berjaya, tidak ada halangan untuk pelajar termasuk di luar bandar untuk mengecapi kejayaan.
Menurutnya, selama ini ramai ibu bapa yang memberi fokus untuk menyambung pengajian di universiti awam tanpa melihat potensi anak-anak dalam bidang kemahiran.
"Isu ini biasa berlaku terutama di sekolah luar bandar. Banyak peluang kemahiran yang disediakan dan ia bermula dengan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).
"Jadi, jangan berhenti di sini. Teruskan pengajian dan belajar. Yang ke universiti, teruskan, yang lain cari kemahiran, banyak yang ada. Kena ada kemahuan," katanya pada majlis Apresiasi Kecemerlangan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mahang, Kulim hari ini.
Hadir sama, Pengetua Cemerlang Ruzana Md Noor.
Dr Mohd Nizam berkata, cara berfikir yang selari dengan perubahan zaman juga menjadi faktor untuk pelajar berjaya dalam hidup.
Katanya, untuk itu, semua pihak termasuk ibu bapa perlu mempunyai tetapan minda yang tidak hanya terhad kepada aliran utama, tetapi bidang kemahiran yang selama ini dianggap sebagai kelas kedua.
"Keperluan dalam bidang teknikal tinggi dan ia perlu diisi. Sebab itu peluang yang besar di pasaran menanti generasi pelajar hari ini.
"Saya percaya, sama ada bandar atau pun luar bandar, semua orang mempunyai peluang yang sama. Jadi rebutlah peluang itu untuk mengubah nasib kita dan keluarga," katanya.