Georgetown: Keluarga merayu orang ramai mengesan pemuda berusia 21 tahun yang dilapor hilang sejak Sabtu lalu selepas keluar dari rumah ibunya di Bukit Jambul, di sini.
Pemuda terbabit Muhammad Danish Syamil Jusfaridan, 21, dikatakan keluar dari rumah kerana mahu berjumpa dengan kenalannya di Nibong Tebal.
Bapanya, Jusfaridan Azizat, 48, berkata, bagaimanapun anak sulung daripada dua beradik itu tidak pulang sehingga hari ini malah telefon bimbitnya juga gagal dihubungi.
Katanya, dia dimaklumkan oleh bekas isteri bahawa berlaku perselisihan faham antara Muhammad Danish dengan rakannya sebelum dia keluar rumah.
"Kami sudah hubungi rakan yang dimaksudkan itu serta kenalan lain namun tiada sebarang maklum balas positif mengenai keberadaan anak saya.
"Ini adalah kali pertama Muhammad Danish tidak pulang ke rumah dalam tempoh yang lama," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Susulan itu, Jusfaridan berkata, laporan polis berhubung kehilangan Muhammad Danish sudah dibuat kira-kira jam 12 tengah malam tadi.
"Sehingga jam 1 tengah hari ini, anak saya masih belum ditemui dan usaha mengesannya dibuat dengan kerjasama daripada polis.
"Muhammad Danish keluar dari rumah pada hari kejadian dengan memakai baju-T serta berseluar hitam.
"Kali terakhir dia dilihat di sekitar Nibong Tebal dengan menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR nombor pendapatan PRF 704," katanya lagi.
Jusfaridan berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Muhammad Danish boleh menghubunginya di talian 012 535 1349 atau balai polis berhampiran.