Kenaikan gaji sektor awam, semarak industri pelancongan
Oleh Hamzah Osman - Ogos 19, 2024 @ 3:05pm [email protected]
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying (kanan) diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Datuk Haslina Abdul Hamid melancarkan 'Discovery Langkawi Snap & Share Merdeka Campaign' di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi. NSTP/Hamzah Osman
LANGKAWI: Kenaikan gaji penjawat awam berpotensi mengembalikan semula minat rakyat untuk melancong, sekali gus menyemarakkan kembali aktiviti pelancongan domestik.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying, berkata kenaikan gaji biasanya sinonim dengan peningkatan kualiti hidup dan kuasa beli dalam kalangan rakyat.
"Kenaikan gaji dalam sektor awam seperti diumumkan Perdana Menteri Jumaat lalu selepas tidak dikaji dalam tempoh 12 tahun satu langkah yang baik memandangkan kos sara hidup kini semakin tinggi.
"Kita yakin impak positif susulan tindakan (kerajaan) itu memang akan berlaku (sebaik dilaksanakan), khususnya kepada industri pelancongan tempatan.
"Mereka (penjawat awam) akan mempunyai wang lebih dalam saku dan boleh berbelanja (untuk melancong)," katanya pada sidang media selepas melancarkan 'Discovery Langkawi Snap & Share Merdeka Campaign' (DLSSMC) di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL), di sini, hari ini.
Hui Ying berkata, susulan itu pihak berkaitan khususnya agensi kerajaan dan pengusaha pelancongan perlu segera tampil menawarkan promosi pakej pelancongan bagi memperkasa semula sektor pelancongan pasca COVID-19.
"Jadi, (agensi kerajaan dan pengusaha pelancongan) ambillah kesempatan ini (kenaikan gaji sektor awam) untuk mempromosi pakej percutian," katanya.
Mengulas DLSSMC, beliau berkata, kempen itu dianjurkan oleh Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) selama sebulan berakhir 16 September ini bertujuan meningkatkan promosi Langkawi di media sosial.
"Pelancong yang memuat naik gambar, video dan lokasi menarik serta unik di media sosial dan mendapat minimum 100 tanda suka (like) layak menuntut hadiah sagu hati di kaunter khas di LTAL.
"LADA menyasarkan 2,000 hantaran dibuat oleh pengguna media sosial yang tampil menyahut menyertai kempen julung kali itu dan pada masa sama bakal menerima 200,000 reaksi berkaitan Langkawi," katanya.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif LADA, Datuk Haslina Abdul Hamid, timbalannya, Wan Kamarul Faisal Wan Kamardin dan Pengurus LTAL, Che Sulaiman Che Pa.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/08/1287051/kenaikan-gaji-sektor-awam-semarak-industri-pelancongan
|