Arau: Kehilangan deria pendengaran sejak dilahirkan tidak pernah menjadi penyesalan kepada atlet orang kurang upaya (OKU) pendengaran negara, Zaiman Megat Abu.
Malah, kekurangan anak bongsu pasangan Allahyarham Megat Abu Mat Saman dan Maznah Mansor, 58, itu juga bagaikan satu anugerah daripada Allah SWT apabila dia mampu melukis pelbagai lukisan potret secara 'sketch' sehingga membuatkan ramai tertarik dengan kebolehan anak muda berusia 23 tahun itu.
Zaiman yang berkomunikasi menggunakan bahasa isyarat menerusi kakak sulungnya, Hazalina Megat Abu, 38 berkata, adiknya menunjukkan minat melukis potret secara 'sketch' bermula tatkala berusia 17 tahun.
"Adik saya ini adalah atlet olahraga OKU kebangsaan dalam acara lompat jauh dan lompat kijang dan selain membuat kerja kampung seperti menoreh getah dan menghantar baja, dia juga mempunyai suka melukis secara 'sketch'.
"Melukis adalah salah satu ekspresi diri adik saya dan berikan saja dia pensel, getah pemadam dan kertas lukisan maka pelbagai lukisan potret secara 'sketch' mampu dihasilkannya dan minat melukis ini sudah menjadi sebahagian dalam aktiviti masa lapangnya ketika dia berusia 17 tahun lagi.
"Dia bermula dengan melukis gambar pemandangan dan kemudian meningkatkan lagi kemahiran kepada melukis potret tokoh atau wajah dalam bentuk 'sketch'," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Padang Telela, Pauh, di sini hari ini.
Katanya, keupayaan melukis itu ternyata menarik banyak pihak termasuk orang ramai yang ada menawarkan harga lebih RM100 bagi lukisan potret 'sketch' yang dihasilkan.
"Aktiviti lukisannya itu diletakkan sebagai aktiviti masa lapang saja kerana fokus utamanya adalah berlatih untuk menghadapi kejohanan sukan di masa hadapan.
"Namun, apabila ada permintaan, dia pasti akan menghasilkan potret berbentuk 'sketch'. Lazimnya dia mengambil masa sekitar sehari dan kebanyakan lukisan dijual antara RM50 hingga RM100 bergantung kepada saiz," katanya.
Antara lukisan potret 'sketch' yang dihasilkannya ialah potret Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim, Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli, Exco Pembangunan Belia dan Kemajuan Sukan Perlis, Wan Zikri Afthar Ishak dan bekas Ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad.
Selain itu, dia turut menghasilkan pelbagai potret karikatur adiwira seperti Ultraman dan Kamen Rider.
Zaiman adalah saudara kembar kepada anggota polis, Shahrizal Megat Abu yang dilahirkan normal dan kini bertugas di Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur.