Balu Allahyarham Hamid Pawanteh meninggal dunia
Oleh Aizat Sharif - Ogos 20, 2024 @ 3:23pm [email protected]
Foto FB Natasya Pawanteh
ARAU: Balu kepada bekas Menteri Besar Perlis, Allahyarham Tan Sri Dr Abdul Hamid Pawanteh meninggal dunia pagi ini.
Berita pemergian Puan Sri Elham Hamid Abdullah dikongsi anaknya, Natasya Pawanteh menerusi hantaran di Facebook pada hari ini.
Allahyarham menghembuskan nafasnya terakhir di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar sekitar jam 8.30 pagi hari ini.
"Salam takziah buat seluruh ahli keluarga Puan Sri Dato' Datin Seri Elham Hamid Binti Abdullah yang telah kembali ke Rahmatullah pada hari ini 20 Ogos 2024, bersamaan 25 Safar 1446 Hijrah, sekitar 8.30 pagi tadi.
"Moga Allah ampuni dia, rahmati dia, maafkan dia, muliakan kematian dia, lapangkan kubur dia, jadikan syurga sebagai ganti tempat tinggal dia, dan tempatkan dia dikalangan orang-orang yang beriman," katanya menerusi hantarannya itu.
Natasya berkata, jenazah akan diuruskan di Hospital Tuanku Fauziah Kangar sebelum dibawa pulang ke kediamannya di Jalan Syed Hassan, Arau.
Jenazah kemudian akan dibawa ke Masjid Negeri Arau sebelum dikebumikan selepas solat Asar di Tanah Perkuburan Islam Masjid Lama Arau.
Sementara itu, bekas setiausaha akhbar kepada Allahyarham Tan Sri Dr Abdul Hamid Pawanteh, Datuk Hashim Suboh dalam hantaran di Facebooknya, menyifatkan Puan Sri Elham atau lebih mesra dikenali sebagai Kak Elly seorang yang sangat mesra dengan kakitangan pejabat Menteri Besar ketika arwah suaminya menjawat jawatan itu dari 1986 hingga 1995.
"Sepanjang perjalanan saya sebagai Setiausaha Akhbar kepada Tan Sri, Allahyarhamah Kak Elly sangat mesra dengan staf pejabat MB. Tak pernah masuk campur urusan rasmi suaminya. Begitu juga dengan anggota keluarga yang lain.
"Kak Elly akan beritahu kami 'mood' Dr Hamid pada hari berkenaan. Pandai-pandailah kami sesuaikan.
"Semoga roh Allahyarhamah dicucuri rahmatNya, diampunkan segala dosa dan kesalahannya dan diberikan ganjaran pahala sebaiknya atas segala amal kebajikan Allayarhamah Kak Elly," katanya.
Allahyarham Tan Sri Dr Hamid Pawanteh adalah Menteri Besar Perlis yang keempat mentadbir Perlis dari 1986 hingga 1995.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/08/1287434/balu-allahyarham-hamid-pawanteh-meninggal-dunia
|