Polis sahkan tiga beranak mati akibat dikelar pada leher
Oleh Zuliaty Zulkiffli - Ogos 21, 2024 @ 5:23pm [email protected]
Polis menjumpai mayat dipercayai warga Rohingya di pesisir Pantai Kuala Kedah, semalam. - Foto NSTP/Wan Nabil Nasir
ALOR SETAR: Polis mengesahkan tiga beranak yang dibunuh dan ditemui di dua lokasi berasingan di daerah ini Isnin dan semalam dipercayai mati akibat dikelar pada leher.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad, berkata pengecaman mayat ketiga-tiga mangsa dilakukan oleh suspek yang mengesahkan mayat itu adalah isteri dan dua anaknya yang berusia dua dan 10 tahun.
Beliau berkata, ujian asid deoksiribonukleik (DNA) lima sekeluarga termasuk suspek, isteri dan tiga anaknya sudah diambil dan dihantar ke Jabatan Kimia untuk analisis.
"Selain itu, hasil siasatan mendapati, jarak anak ketiga suspek yang dibuang ke dalam longkang besar di Jalan Pegawai hanyut dibawa arus ke laut, kira-kira 15 kilometer sebelum ditemui di Pantai Leman, Kuala Kedah," katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, mayat dua beranak iaitu wanita berusia 34 tahun dan anak perempuannya etnik Rohingya berusia 10 tahun ditemui dalam longkang di belakang bangunan terbiar berhampiran Pekan Simpang Kuala, di sini Isnin lalu.
Mayat kedua-dua beranak itu ditemui dalam keadaan tertiarap dan terbaring bersebelahan antara satu sama lain. pada jam 5 petang oleh orang awam.
Sejurus selepas itu, mayat kanak-kanak lelaki berusia dua tahun ditemui di kawasan Pantai Leman, Kuala Kedah jam 12 tengah hari semalam dengan kesan kelar.
Suspek ditahan polis pada jam 9 malam Isnin lalu di pekarangan Masjid Al Hidayah, Bukit Pinang iaitu kira-kira empat jam selepas mayat dua beranak itu ditemui.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2024/08/1288028/polis-sahkan-tiga-beranak-mati-akibat-dikelar-pada-leher
|