Siput kabung 'serang' Pantai Chenang
Oleh Hamzah Osman - Ogos 22, 2024 @ 2:20pm [email protected]
Siput kabung membanjiri Pantai Chenang, Langkawi susulan fenomena air pasang besar dan ombak kuat sejak tiga hari lalu. - NSTP/Hamzah Osman
LANGKAWI: Fenomena air pasang besar dan ombak kuat dipercayai menjadi antara sebab berlakunya limpahan siput kabung yang terdampar di Pantai Chenang, di sini, sejak tiga hari lalu.
Difahamkan, kehadiran jumlah siput yang luar biasa itu boleh dilihat sejauh dua kilometer (km) sepanjang pantai tumpuan pelancong itu, malah keadaannya menjadi lebih menarik dilihat ketika air laut surut.
Seorang pekerja pembersihan, Zailani Omar, 55, berkata limpahan siput kabung terdampar dengan banyak di pantai itu dikesan kira-kira jam 2 petang kelmarin, susulan air pasang besar dan ombak kuat.
"Hari ini pun banyak siput kabung terdampar di sepanjang pesisir pantai ini dan fenomena itu berlaku setiap tahun selepas kejadian ribut dan ombak kuat, rasanya keadaan ini mungkin berlarutan selama seminggu.
"Semalam saya kaut kira-kira 600 kilogram (siput kabung) ke dalam plastik sampah kemudian bawa ke tempat pembuangan sampah. Jika dibiarkan akan membahayakan kaki pengunjung," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Penduduk, Siti Noraini Ahmad Tasir, 41, dari Kampung Kedawang, berkata lambakan siput kabung di Pantai Chenang susulan ombak kuat berlaku setiap tahun dan menjadi antara fenomena yang dinantikan penduduk setempat.
"Setiap tahun kawasan ini (Pantai Chenang) meriah dengan aktiviti ini (kutip siput). Siput ini memang sedap dimasak lemak, sayur air atau dibuat kerabu bercampur tauge," katanya yang mengutip kira-kira tujuh kilogram siput.
Mohamad Junaidi Ahmad, 43, dari Kampung Belak, berkata siput yang membanjiri tepian Pantai Chenang itu dipercayai akan terus dapat dikutip pengunjung dalam tempoh beberapa hari lagi.
"Dari mana siput ini datang dengan begini banyak pada pertengahan Ogos setiap tahun, masih menjadi persoalan kepada penduduk kerana siapa pun tidak pernah menemui tempat habitatnya di kawasan berhampiran," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/08/1288459/siput-kabung-serang-pantai-chenang
|