Edited by sfhzuraz at 22-8-2024 05:50 PM
Bekas tentera berhabis duit hias tiga beca dengan Jalur Gemilang
OlehROSHILA MURNI ROSLI
22 Ogos 2024 02:56pm
Yazid dan isterinya, Rahah Ahmad, 69, bersama beca miliknya yang dihiasi dengan Jalur Gemilang.
KUBANG PASU - Seorang bekas tentera sanggup berhabis duit poketnya pada setiap tahun untuk menghias beca yang dimilikinya dengan bendera Malaysia sempena sambutan hari kemerdekaan.
Yazid Yusoff, 70 berkata, dia bermula dengan menghias sebuah beca sahaja pada tahun 2021 sehinggakan kini memiliki tiga buah beca yang dihias indah dengan Jalur Gemilang.
Menurutnya, dia tidak kisah untuk melabur masa, tenaga dan wang ringgit asalkan usaha tersebut dapat memberi contoh kepada generasi muda mengenai kepentingan menanam sifat patriotik dan cintakan negara.
]
Yazid bergambar bersama orang ramai yang tertarik dengan beca-becanya.
"Saya hasilkan beca pertama kira-kira lima tahun lalu apabila saya membeli sebuah basikal dari kedai barangan terpakai di Jalan Bukit Kayu Hitam dengan harga RM200.
"Apabila tiba bulan kemerdekaan saya terfikir untuk menghiasnya dengan Jalur Gemilang bagi meraikan hari bersejarah buat negara. Melihat sambutan orang ramai saya seterusnya membeli sebuah lagi basikal untuk dijadikan beca pada tahun 2022 dan kini saya sudah ada tiga beca," katanya ketika ditemui di sini pada Khamis.
Dalam pada itu, Yazid berkata Jalur Gemilang pada beca-beca itu akan diganti setiap tahun bagi memastikannya nampak cantik, bersih dan tidak kusam.
"Beca ini juga dipasang dengan pembesar suara dan saya akan memasang lagu-lagu patriotik apabila mengayuhnya di sekitar pekan Jitra," katanya.
Dia berkata, kesemua beca tersebut merupakan hasil kerja tangan birasnya, Abd Malek Endut, 65, yang merupakan pesara Pos Malaysia.
]
Sambutan orang ramai terhadap becanya setiap kali sambutan hari kebangsaan menyebabkan Yazid menambah koleksi becanya.
"Sepanjang bulan kebangsaan ini, saya akan bergilir-gilir mengayuh ketiga-tiga beca ini mengelilingi pekan Jitra. Ramai juga yang minta saya berhenti untuk mereka ambil gambar sebagai kenangan," ujarnya.
Jelas bapa kepada lima cahaya mata itu, pada 31 Ogos nanti, dia bersama rakan-rakannya bercadang untuk mengayuh beca-beca itu di sekitar Pekan Jitra.
"Kayuhan itu akan disertai ramai lagi kenalan dan penduduk setempat dengan ada antaranya akan mengayuh basikal tua," katanya.
Sementara itu, adik iparnya, Mariam Ahmad, 58, berkata, Yazid sering meletakkan becanya di kawasan lapang berhampiran gerainya di Batu 14, Jalan Hospital Daerah di sini.
"Pelanggan yang datang selalu tertarik melihat beca- beca ini.Yazid pun tidak kisah untuk membawa kanak-kanak menaiki becanya di sekitar kawasan ini," katanya.
https://www.sinarharian.com.my/article/681654/edisi/utara/bekas-tentera-berhabis-duit-hias-tiga-beca-dengan-jalur-gemilang
|