Langkawi: Sebuah kenderaan yang diletak di Parkir B Oriental Village berhampiran Air Terjun Telaga Tujuh, di sini terdampar di sungai selepas dihanyutkan arus akibat kepala air, tengah hari tadi.
Dalam kejadian 12.50 tengah hari itu, beberapa kenderaan lain yang diletak di kawasan parkir sama dilaporkan turut rosak selepas dinaiki air sedalam 0.5 meter.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, kejadian dipercayai berpunca daripada hujan lebat berterusan pada sebelah pagi dan renyai menjelang tengah hari.
"Lapan gerai jualan runcit dan makanan, lima kedai baju serta dua cafe di kawasan Parkir B Oriental Village milik Panorama Langkawi Sdn Bhd (Panorama Langkawi) telah terjejas.
"Sebuah kereta hanyut dan ditemui dalam sungai, manakala beberapa kenderaan lagi dikesan rosak. Sehingga 5 petang ini, belum ada laporan polis berhubung kejadian diterima," katanya dalam satu kenyataan di sini, petang ini.
Shariman berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan jenis kerosakan barangan secara terperinci sedang dikenal pasti.
Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Langkawi, Kapten (PA) Khairul Afzan Md Yasin berkata, kawasan kejadian kembali normal selepas hujan berhenti pada 2.40 petang.
Pihaknya turut mengingatkan pengunjung di kawasan itu agar mengambil langkah berjaga-jaga dan mengawasi paras air sungai berhampiran bagi mengelak kejadian tidak diingini.