Alor Setar: Kerajaan Persekutuan diminta mengambil serius mengenai potensi daun ketum untuk dijadikan sumber komoditi baharu untuk dieskport secara sah bagi meningkatkan ekonomi rakyat.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan negeri, Dzowahir Ab Ghani berkata, ini berikutan pasaran daun itu sangat besar dan ia sudah dijadikan sebagai salah satu alternatif perubatan di negara jiran Thailand.
"Perkara ini terletak kepada persetujuan kerajaan Pusat, baru-baru ini kita buat mesyuarat dengan semua EXCO Pertanian dari seluruh negeri bersama Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
"Dalam mesyuarat itu dibangkitkan semula mengenai daun ketum dan menteri ambil maklum dan akan dibincang secara halus untuk membolehkan tanaman ketum ini dijadikan hasil pendapatan kerana pasarannya besar," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Muhamad Amri Wahab (PN-Derga) pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.
Muhamad Amri bertanyakan adakah kerajaan negeri bersetuju menjadikan daun ketum sebagai sumber pendapatan dengan mengeksport bahan itu memandangkan Thailand membenarkan penggunaan ketum sebagai salah satu rawatan herba.
Mengulas lanjut, Dzowahir berkata, ketum kini bukan sahaja digunakan di Thailand malah negara Barat seperti Jerman turut menjadikannya sebagai produk perubatan.
"Di Jerman mereka namakan produk ketum sebagai kretum dan dibotol itu pula ditulis (dilabel) sebagai 'Malay product.'
"Jadi saya ambil kesempatan ini agar kerajaan mengambil serius tentang potensi ketum ini sekiranya dapat diusahakan secara terkawal bukan saja untuk manfaaat pendapatan penduduk tapi juga sumber perubatan untuk orang ramai," katanya.