Langkawi: Sebuah kedai dua tingkat yang dipercayai diubah suai menjadi pusat hiburan 'Little Danok' dengan menawarkan gadis pelayan (GRO) di pulau ini digempur Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), semalam.
Pada serbuan Op Gegar itu, 33 warga asing ditahan untuk tindakan lanjut.
Pengarah Imigresen Kedah Mohd Ridzzuan Mohd Zain berkata, operasi bermula jam 11.30 malam itu membabitkan Unit Risikan dan Operasi, Bahagian Penguatkuasa JIM Kedah.
Beliau berkata, lokasi premis yang terletak di tengah pusat bandar ini dipercayai strategik bagi menarik pengunjung lelaki yang inginkan 'layanan istimewa'.
"Di lokasi ini, 21 wanita warga Thailand berumur 19 hingga 38 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan.
"Pemeriksaan turut dilakukan di beberapa lokasi lain sebelum kami menahan 12 lagi warga asing," katanya dihubungi, hari ini.
Mohd Ridzzuan berkata, serbuan dijalankan hasil aduan awam berkaitan warga asing disyaki menjalankan aktiviti tidak bermoral dengan berselindung di sebalik pusat hiburan di kawasan tumpuan pelancong itu.
"Warga asing terbabit dipercayai menyalahgunakan pas lawatan serta tidak memiliki dokumen pengenalan diri sah.
"Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," katanya.
Kesemua tangkapan ditempatkan sementara di lokap Unit Penguatkuasa JIM Kedah (Cawangan Langkawi) untuk siasatan lanjut.