Alor Setar: Paras air di tiga empangan seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada), terutama Empangan Muda dan Empangan Pedu meningkat, selepas hujan sejak dua minggu lalu.
Berdasarkan maklumat di laman web Mada, paras Empangan Muda kini meningkat kepada 14.12 peratus berbanding hanya 7.8 peratus pada 18 Ogos lalu, manakala paras Empangan Pedu 34.72 peratus berbanding dua minggu lalu yang merekod 33.21 peratus.
Empangan Ahning pula berada pada paras 78.82 peratus, berbanding 78.5 peratus dua minggu lalu.
Perkembangan itu menjadikan keseluruhan takungan air di tiga empangan itu mencecah 40.63 peratus, berbanding 38.85 peratus pada 18 Ogos lalu.
Penduduk Syazwan Ismail, 27, berkata keadaan di Kampung Mong Gajah berdekatan Empangan Pedu tidak banyak berubah apabila kubur lama di situ masih timbul, namun takungan air dilihat sedikit meningkat.
"Orang pun kurang datang dah kerana hujan. Jalan masuk pun berlumpur, tak sesuai naik dengan motosikal," katanya ketika dihubungi.
Pada 17 Ogos lalu, kira-kira 300 penduduk, di sini mengambil peluang mengadakan kenduri dan majlis tahlil berhampiran kubur lama di Kampung Mong Gajah, Empangan Pedu bagi mendoakan ahli keluarga serta nenek moyang mereka yang bersemadi di situ.
Majlis diadakan susulan tanah perkuburan dipercayai berusia lebih 100 tahun itu timbul sejak awal bulan ini akibat kemarau berpanjangan.
Sebelum ini, media melaporkan Pengerusi Mada, Datuk Dr Ismail Salleh berkata, sumber bekalan air negeri akan berada pada tahap kritikal sekiranya paras takungan di Empangan Pedu di bawah 15 peratus.