Langkawi: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mahsuri, di sini, menghasilkan Jalur Gemilang gergasi sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-67 dengan menggunakan 2,000 plastik bekas makanan.
Bendera Malaysia itu hasil kerja tangan lebih 100 guru, pelajar dan kakitangan sekolah secara bergilir bagi membentuk bendera bersaiz sembilan meter lebar dan dua meter tinggi.
Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu, Abdul Razak Jusoh berkata, bendera yang kini dipacakkan di hadapan sekolah terbabit berjaya disiapkan dalam tempoh seminggu.
"Idea menghasilkan bendera ini dicetuskan oleh guru menggunakan bahan terbuang iaitu plastik bekas minuman dan cat minyak untuk menghasilkan warna utama iaitu merah, putih, biru serta kuning bagi menepati ciri bendera Malaysia.
"Plastik bekas minuman disapu dengan cat mengikut warna pilihan kemudian dilekatkan pada papan plywood bagi memastikan bendera tidak terkulai apabila dipacak menggunakan tiang besi," katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.
Turut hadir, Penolong Kanan Pentadbiran SMK Mahsuri, Dzul Osman.
Katanya, program itu diadakan bagi menerapkan semangat patriotik kalangan 1,600 pelajar, selain antara program memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan 2024.