Arau: "Apabila lihat ibu hadir hari ini, hati saya menjadi sayu dan berazam untuk tidak lagi terbabit dengan dadah kerana tidak sanggup tinggalkan ibu seorang di rumah."
Begitu kata Wan (bukan nama sebenar) apabila terpilih menjadi salah seorang daripada 20 banduan yang dibebaskan secara berlesen oleh Pusat Koreksional Perlis, di sini, hari ini.
Selain Wan, abang dan adiknya turut dihumban ke dalam tirai besi akibat penyalahgunaan dadah.
Wan dari Padang Besar berkata, pengalaman dua kali dipenjara kerana najis dadah cukup membuatkannya insaf dan sudah tiba masanya untuk meninggalkan segala perlakuan yang membinasakan dirinya.
"Saya tidak sanggup lagi untuk berterusan menjadi penghuni penjara dan ingin menjaga ibu yang tinggal seorang diri sekali gus berazam tidak mahu lagi kembali ke penjara untuk kali ketiga.
"Bukan saya sahaja yang terpaksa merengkok di sini, abang dan adik saya pun ikut sama berada di sini kerana kesalahan sama, jadi bayangkanlah siapa yang hendak jaga ibu saya jika kami semua di sini.
"Oleh itu, peluang dilepaskan dengan berlesen ini memberi harapan baru buat diri saya dan ibu. Ini adalah peluang untuk berubah menjadi insan lebih baik serta menjauhi dadah," katanya.
Wan berkata demikian ketika ditemui pada Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Ihsan Madani 'Kepulangan Yang Dinanti' Sempena Hari Kebangsaan ke-67 di Pusat Koreksional Perlis, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengarah Penjara Perlis, Penolong Kanan Komisioner (PKK) Raja Nazril Azman Raja Azam Iskandar dan Timbalan Pengarah Pusat Koreksional Perlis, Penguasa Penjara Norhazran Che Abdullah.
Sementara itu, Raja Nazril Azman berkata, seramai 20 orang dari Pusat Koreksional Perlis dipilih untuk diberi pelepasan berlesen pada program berkenaan.
"Dari awal tahun ini, antara 200 hingga 250 banduan atau kita panggil sebagai prospek penjara diberi pelepasan berlesen di mana mereka dipilih setelah dilihat pada tingkah laku serta kesalahan mereka.
"Mereka yang dipilih harus mematuhi kriteria dan peraturan mengikut Akta Penjara 1995 selain perlu melaporkan diri semula ke Pejabat Parol Daerah pada waktu dan tarikh yang ditetapkan," katanya.