Zakat Kedah bangunkan rumah pangsa transit untuk mualaf
Oleh Wartawan BH - Ogos 29, 2024 @ 5:58pm [email protected]
Sebuah bangunan rumah pangsa sedang disiapkan oleh Zakat Kedah untuk dijadikan kediaman transit kepada golongan mualaf di Kedah.
ALOR SETAR: Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) sedang menyiapkan sebuah bangunan dengan 23 unit rumah pangsa dekat Mentaloon di sini, untuk dijadikan kediaman transit golongan mualaf yang memerlukan penginapan sementara mendapat tempat tinggal tetap.
Ketua Divisyen Pembangunan Mualaf dan Dakwah Sosial LZNK, Mohd Idris Mohd Yussoff, berkata selain rumah transit, bangunan itu juga akan dilengkapi pusat latihan untuk golongan mualaf, pendakwah dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mualaf LZNK.
"Kami dapati golongan mualaf menghadapi pelbagai masalah dan cabaran selepas memeluk Islam. Ada di antara mereka dibuang dari keluarga menyebabkan mereka berhadapan masalah kebajikan, termasuklah tempat berlindung.
"Selama ini kami menempatkan mereka di tempat perlindungan transit milik NGO mualaf dan pusat pengajian yang menjadi rakan strategik, namun kapasitinya agak terhad. Insya Allah, semua ini akan berakhir awal tahun depan.
"LZNK membeli sebuah rumah pangsa lima tingkat dekat Mentaloon baru-baru ini. Bangunan ini sedang diubah suai dan dilengkapkan beberapa kemudahan, membolehkan kami menempatkan 10 keluarga dan 12 individu mualaf dalam suatu masa sementara mendapatkan rumah yang sesuai untuk mereka tinggal," katanya.
Beliau memberitahu demikian selepas menerima kunjungan hormat sekumpulan Ahli Jawatankuasa (AJK) Pertubuhan Pemberdayaan Ummah (BERDAYA) di Menara Zakat dekat Jalan Teluk Wanjah di sini.
Ketua Divisyen Pembangunan Mualaf dan Dakwah Sosial, Lembaga Zakat Negeri Kedah Darul Aman (LZNK), Mohd Idris Mohd Yussoff, menerima cenderamata dari Pengerusi Pertubuhan Pemberdayaan Ummah (BERDAYA), Dr Kamarul Zaman Yusoff, di Menara Zakat Alor Setar
Rombongan BERDAYA diketuai Pengerusinya, Dr Kamarul Zaman Yusoff; Timbalan Pengerusi, Muhammad Syakirin Abd Rashid dan Setiausaha, Aida Rozita Mokhtar serta beberapa AJK lain.
Turut serta dalam pertemuan itu Ketua Unit Pengurusan Mualaf Divisyen Agihan LZNK, Mohd Khairi Ishak, yang memberikan penjelasan mengenai bidang tugas kedua-dua divisyen tersebut.
Pada masa sama, BERDAYA memperkenalkan dirinya sebagai NGO yang ditubuhkan sejak 2021 di bawah Pendaftar Pertubuhan, bertujuan memberi daya dan keupayaan golongan yang lemah dalam masyarakat Malaysia.
BERDAYA sebelumnya sering bekerjasama dalam beberapa program LZNK seperti Fiesta Ukhwah Aidil Fitri di Masjid al-Rahmah, Mergong, dan program agihan zakat di Perkampungan Orang Asli Ulu Legong, Baling, pada awal bulan ini.
Mohd Idris berkata, selain bantuan bank makanan yang disalurkan menerusi masjid di seluruh negeri dan melalui sembilan NGO mualaf yang berdaftar dengan LZNK, pihaknya juga melantik pendakwah mualaf di setiap daerah untuk menyantuni dan membimbing golongan itu.
"Bagi mualaf yang tidak bekerja dan memerlukan pekerjaan, LZNK turut menyediakan skim kerjaya dan pengajian, di mana mualaf ini akan ditempatkan di masjid atau sekolah agama.
"Di samping berkhidmat, mereka mendapat bimbingan daripada masjid atau sekolah agama. Mualaf berkenaan akan menerima saguhati bulanan yang diagihkan LZNK melalui masjid atau sekolah agama berkenaan.
"Akan datang, kami merancang membangunkan medan selera yang akan diusahakan golongan ini. Di samping sebagai ruang perniagaan kepada mereka, kami berhasrat medan selera ini menjadi tempat penyediaan makanan percuma kepada golongan gelandangan kawasan sekitarnya.
"Semua ini adalah usaha kami menyantuni dan membangunkan golongan mualaf yang memeluk Islam di bawah lima tahun di seluruh negeri Kedah, yang dianggarkan lebih 1000 orang," katanya.
Beliau berkata, hasil pertemuan itu, LZNK dan BERDAYA bersetuju memperkukuhkan kerjasama strategik dalam menganjurkan pelbagai program bersama untuk mempertingkatkan ekonomi, mandiri dan jati diri golongan mualaf di seluruh negeri Kedah.
"Kami sentiasa mengalu-alukan kerjasama daripada mana-mana NGO dalam mengadakan program bagi membantu golongan mualaf dan asnaf di seluruh negeri Kedah, insya Allah selepas ini kita akan menganjurkan beberapa program bersama," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/08/1291667/zakat-kedah-bangunkan-rumah-pangsa-transit-untuk-mualaf
|