Curi kabel TM di Pulau Pinang, polis tahan 16 lelaki
Oleh BERNAMA - Ogos 30, 2024 @ 8:57am
Foto hiasan
GEORGETOWN: Polis menahan 16 lelaki disyaki terbabit dalam kegiatan mencuri kabel milik Telekom Malaysia (TM) dalam operasi khas di negeri ini sepanjang Ogos.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad, berkata dengan penahanan suspek berusia 20 hingga 52 tahun itu, sekurang-kurangnya lapan kes curi kabel berjaya diselesaikan iaitu di daerah Barat Daya, Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Selatan.
"Susulan kes kecurian kabel milik TM di sekitar negeri ini, polis Pulau Pinang melancarkan operasi sepanjang bulan ini dan berjaya menahan 16 lelaki terbabit serta merampas pelbagai barangan dipercayai digunakan dalam kegiatan itu.
"Semua mereka direman untuk siasatan lanjut dan kertas siasatan kes dibuka di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, sejak Januari lalu hingga kini, sebanyak 50 kes kecurian kabel dilaporkan di Pulau Pinang dan pihaknya berjaya menahan 77 individu sekali gus menyelesaikan 33 kes berkaitan.
Hamzah berkata, pihaknya amat komited dalam mencegah dan membanteras jenayah curi kabel serta memohon kerjasama orang ramai agar bersama-sama menyalurkan maklumat kepada polis.
Sementara itu, katanya, polis menahan 11 lelaki berusia 24 hingga 66 tahun kerana terbabit dalam kes kecurian motosikal dalam operasi khas.
"Polis melancarkan satu operasi khas di Pulau Pinang dan menahan 11 lelaki serta merampas lima motosikal disyaki motosikal curi, (jadi) kami berjaya menyelesaikan lapan kes curi motosikal di daerah Timur Laut," katanya.
Semua mereka direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2024/08/1291818/curi-kabel-tm-di-pulau-pinang-polis-tahan-16-lelaki
|