Edited by sfhzuraz at 30-8-2024 06:04 PM
Ketepikan ideologi lama guna kaum, agama pecah belah rakyat - PM
30 Ogos 2024 03:08pm
Anwar (tengah) beramah mesra dengan salah seorang pelajar SMK Tinggi Bukit Mertajam pada Jumaat.
BUKIT MERTAJAM - Sudah tiba masanya rakyat mengetepikan ideologi lama yang cuba memecahbelahkan masyarakat dengan menggunakan isu perkauman dan agama.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, semua agama, sama ada Islam, Kristian atau Hindu mengajar nilai-nilai murni dan kasih sayang sesama manusia.
Menurutnya, tiada agama yang menyebarkan kebencian dengan menggunakan agama untuk memecahbelahkan sesebuah masyarakat.
"Kita ini Malaysia, kita anak Malaysia. Melayu, Cina, India, Kadazan dan Dayak, kita bekerja sebagai satu pasukan. Jangan tunduk kepada pemikiran-pemikiran lapuk, mengadu domba, menggunakan isu kaum, agama.
"Agama mana yang ajar kita, menggunakan agama untuk meniupkan kebencian? Semua agama mengajar kita untuk memupuk kasih sayang dan hormat-menghormati. Ini yang harus kita tumpu, kalau tidak, pelajar sekolah, tidak kira tingkatan berapa, mudah terpengaruh dengan fahaman-fahaman ini," ketika berucap di mengadakan kunjungan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Bukit Mertajam di sini pada Jumaat.
]
Anwar (duduk, empat dari kanan) bergambar bersama warga SMK Tinggi Bukit Mertajam.
Anwar menegaskan, pendidikan berteraskan nilai-nilai murni adalah penting supaya pelajar boleh belajar menghargai nilai hormat, kasih sayang dan keprihatinan antara satu sama lain.
"Siapa tidak sayangkan agama masing-masing? Jika bagi saya, saya mahu Islam dimartabatkan. Saya bangga menjadi seorang anak Melayu, saya cinta kepada bahasa dan budaya tetapi itu tidak bermakna saya perlu menanam pandangan serong kepada bahasa lain.
"Kerana saya tahu, ada kekuatan dan sastera budaya gemilang dalam bahasa lain. Bagaimanapun, ia tidak menghakis keyakinan saya sebagai orang Melayu dan Islam.
"Ini menunjukkan bahawa, budaya Melayu dan Islam menunjukkan ada sikap kemanusiaan, ihsan dan kasih sayang antara satu sama lain," tambah beliau lagi.
WQH 2024 bantu golongan muda jiwai erti kemerdekaan
]
Sementara itu di Pekan, PAHANG penganjuran Program Malaysia #QuranHour 2024 bertemakan 'Jiwa Merdeka: Memaknai Rukun Negara' berpandukan surah al-Jumu'ah dan al-Hujurat dapat membantu golongan muda lebih menjiwai erti kemerdekaan.
Pengarah Pusat Islam dan Pembangunan Insan (Pimpin) Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Prof Madya Dr Rashidi Abbas berkata, ia juga selari dengan matlamat membudayakan penerapan nilai-nilai Islam dalam kehidupan seharian golongan itu.
Menurutnya, Program Malaysia #QuranHour kali ini sesuai dengan semangat Sambutan Hari Kemerdekaan Negara Ke-67 yang akan disambut pada Sabtu.
"Tema yang digunakan dalam program itu sangat bersesuaian dalam usaha mengajak masyarakat memahami Rukun Negara seterusnya memaknai erti kemerdekaan.
"Mudah-mudahan inisiatif baik ini akan memberi manfaat kepada para peserta yang terdiri warga UMPSA, pelajar sekolah dan komuniti sekitar yang menyertai program ini, hari ini (Jumaat)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Malaysia #QuranHour di Masjid UMPSA di sini pada Jumaat.
Program bermula jam 10 pagi itu dimulakan dengan bacaan surah al-Jumu'ah oleh Qari, Muhammad Aizad Ikhwan Ramlee manakala pentadabbur, Timbalan Naib Canselor Pembangunan Pelajar dan Diplomasi Komuniti, Kolej Universiti Yayasan Pahang (UCYP), Profesor Madya Dr Azhar Bin Jaafar@Ramli.
Dr Rashidi berkata, melihat kepada sambutan yang baik daripada pelajar sekolah dan masyarakat sekitar, Program Malaysia #QuranHour akan diteruskan sebagai salah satu aktiviti tahunan bagi mengimarahkan masjid baharu Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) kampus Pekan yang baru beroperasi sepenuhnya kira-kira dua bulan lalu.
Beliau berkata, aura masjid baharu itu mungkin antara faktor membantu mengamit peserta bagi menjayakan program tersebut.
"Insya-ALLAH lebih banyak lagi program dirancang dan akan dilaksanakan di masjid ini.
"Kita amat berharap dan mengalu-alukan masyarakat sekitar untuk datang bersama-sama warga UMPSA ke masjid ini bagi menjayakan program yang dirancang termasuk program-program #QuranHour pada masa akan datang" katanya.
Perasmian Penutup Program Malaysia #QuranHour 2024 di Masjid UMPSA kampus Pekan itu disempurnakan Profesor Pusat Sains Kemanusiaan (PSK) UMPSA, Prof Dr Hasan Ahmad.
https://www.sinarharian.com.my/article/683078/khas/quranhour/ketepikan-ideologi-lama-guna-kaum-agama-pecah-belah-rakyat---pm
|