Kangar: Memberi alasan mahu ke Kuala Lumpur untuk menyambut ulang tahun hari lahir rakannya.
Bagaimanapun, wanita warga Thailand itu gagal meneruskan perjalanannya ini selepas ditahan kerana cuba menyeludup heroin bernilai hampir setengah juta ringgit ke negara ini.
Dalam kejadian pada 6.40 petang pada Rabu lalu, wanita berusia 30 tahun itu melalui bilik mesin pengimbas Unit Khas Pemeriksaan Penumpang (UKPP) di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQs) Padang Besar dekat sini, dengan membawa dua buah bagasi.
Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis Ismail Hashim berkata, ketika suspek berada di bilik berkenaan, mesin pengimbas bagasi mengesan sesuatu barang yang mencurigakan dibawa suspek.
"Mesin pengimbas bagasi itu mengesan terdapat barang larangan yang berada dalam bagasi milik suspek dan kita mengesyakinya adalah dadah.
"Pemeriksaan rapi ke atas bagasi berkenaan menjumpai masing-masing dua beg tangan dan beg galas, namun kita juga mengesan terdapat paket berwarna coklat yang disembunyikan di dalam ruangan khas beg itu.
"Apabila kita memeriksa paket berwarna coklat itu ternyata terdapat serbuk putih yang disyaki dadah jenis heroin," katanya.
Beliau berkata demikian di Pejabat JKDM Perlis di sini, hari ini.
Menurutnya, kesemua heroin yang dijumpai itu adalah seberat 5.252 kilogram dan pihaknya percaya bekalan dadah itu diperoleh dari Bangkok, Thailand untuk dipasarkan ke Kuala Lumpur.
"Siasatan awal kita mendapati wanita ini menempuh perjalanan selama dua hari dari Bangkok dengan menaiki kereta api sebelum tiba di Hatyai.
"Suspek kemudiannya meneruskan perjalanan dari Hatyai ke Padang Besar (Thailand) dengan menggunakan van pelancong sebelum menaiki kereta sewa untuk melintasi Kompleks ICQs Padang Besar.
"Di pertengahan jalan, dia berjalan menuju ke UKPP, Kompleks ICQs Padang Besar di negara ini sebelum ditahan dan ketika ditahan, dia mendakwa mahu ke Kuala Lumpur dengan menaiki bas di Stesen Bas Kangar," katanya.
Beliau berkata, ketika ditahan suspek dilihat sangat tenang dan tidak menunjukkan sebarang kelakuan mencurigakan.
"Semakan perjalanan pada pasport suspek didapati dia sudah dua kali keluar masuk ke negara ini.
"Kesemua rampasan heroin itu bernilai RM492,375 dan harga bagi sekilogram dadah jenis itu dianggarkan berharga RM93,750.
Ismail berkata, suspek direman hingga 4 September ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.