Kerap isi minyak bongkar taktik lelaki seleweng petrol subsidi
Oleh Aizat Sharif - Ogos 31, 2024 @ 12:19pm [email protected]
Dua tangki tambahan yang diubah suai pada kenderaan suspek bagi tujuan menyeleweng petrol subsidi. - Foto ihsan KPDN
KANGAR: Tindakan seorang lelaki yang kerap mengisi petrol di beberapa stesen minyak sekitar negeri ini sejak beberapa minggu lalu, membongkar kegiatannya yang terbabit penyelewengan bahan api subsidi.
Penahanan suspek berusia lingkungan 50-an kira-kira jam 5 petang Khamis lalu kemudian mendedahkan taktiknya yang mengubah suai tangki minyak pada kenderaan bagi tujuan kegiatan haram itu.
Ketika ditahan, pihak berkuasa menemukan 250 liter petrol subsidi dalam dua tangki minyak yang diubahsuai itu.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDSN) Perlis, Hasbullah Abd Rashid berkata tujuh anggota penguat kuasa melakukan serbuan di sebuah stesen minyak di Kangar ketika suspek mengisi petrol.
Suspek turut menggunakan ‘tong jerry’ untuk mengisi petrol tambahan. - Foto ihsan KPDN
Hos khas disediakan bagi tujuan memudahkan penyaluran diesel ke tangki tambahan pada kenderaan suspek. - Foto ihsan KPDN
"Selain dua tangki tambahan yang diubah suai, pemeriksaan awal turut menemukan dua 'jerry can' di dalam kenderaan kereta digunakan suspek.
"Kita percaya suspek mengisi petrol secara berulang di beberapa stesen minyak di negeri ini sebelum menyelewengnya.
"Suspek ditahan bagi membantu siasatan, manakala kenderaan digunakan disita untuk siasatan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2024/08/1292303/kerap-isi-minyak-bongkar-taktik-lelaki-seleweng-petrol-subsidi
|