Alor Setar: Kemunculan pesawat F/A-18D Hornet Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mencuri tumpuan lebih 35,000 pengunjung yang membanjiri Dataran Medan Bandar, di sini, bagi menyaksikan perbarisan dan perarakan sempena sambutan Hari Kebangsaan 2024, hari ini.
Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dan Sultanah Kedah Sultanah Maliha Tengku Ariff berkenan berangkat menyaksikan sambutan berkenaan.
Berangkat sama, Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin dan Tunku Mahkota Kedah Tunku Shazuddin Ariff Sultan Sallehuddin.
Turut hadir, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah Datuk Seri Norizan Khazali dan barisan Exco kerajaan negeri.
Sementara itu, seramai 5,000 peserta daripada 142 kontinjen mewakili jabatan dan agensi kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT), badan berkanun, swasta, sekolah, institusi pengajian tinggi, pasukan beruniform dan badan bukan kerajaan (NGO) menyertai perarakan.
Sepanjang sambutan berlangsung perarakan daripada aset badan beruniform menjadi tumpuan pengunjung.
Selain itu, seorang kanak-kanak berusia lima tahun yang berpakaian tentera darat turut menjadi tumpuan pengunjung.
Daris Danial Mohamad Nizam berkata, baju berkenaan ditempah oleh ibunya pada tahun lalu.
"Saya minat nak jadi tentera, sebab tu saya pakai baju (uniform) tentera mai sambut merdeka hari ini. Celoreng kat muka ni, kawan ayah yang buat," katanya yang juga anak anggota tentera.