Kedah salur RM1,000 kepada isi rumah terjejas banjir
Oleh Noorazura Abdul Rahman - September 19, 2024 @ 3:52pm [email protected]
Kediaman penduduk yang ditenggelami air sejak Isnin lalu ketika tinjauan banjir di Kampung Padang Luar dekat Jitra hari ini.
ALOR SETAR: Kerajaan Kedah mengumumkan pemberian Bantuan Komuniti Sejahtera (BKS) sebanyak RM1,000 kepada setiap ketua isi rumah (KIR) mangsa banjir yang berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata penyelarasan bantuan akan melalui Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di setiap daerah terbabit.
Selain itu, katanya bantuan wang ihsan Kerajaan Persekutuan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sebanyak RM1,000 akan disalur Pejabat Pembangunan Negeri Kedah kepada semua KIR yang berpindah ke PPS.
"Setakat jam 2 petang tadi, sebanyak 29 PPS dibuka di tujuh daerah iaitu Kota Setar (8), Pokok Sena (4), Pendang (3), Kubang Pasu (7), Bandar Baharu (1), Kulim (3) dan Kuala Muda (3).
"Seramai 3,835 mangsa dengan 1,137 KIR ditempatkan di semua PPS berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sanusi turut menasihatkan semua mangsa banjir agar mematuhi setiap arahan pihak berkuasa jika diarahkan berpindah ke PPS.
Katanya, kegagalan untuk berpindah ke PPS atau mematuhi prosedur yang diarahkan akan menyebabkan mangsa tercicir daripada senarai penerima bantuan kerajaan.
"Anggota polis akan ditempatkan di setiap PPS untuk memudahkan mangsa membuat laporan. PKOB Negeri dan PKOB Daerah akan beroperasi 24 jam sepanjang tempoh bencana untuk memantau dan mengawasi keadaan.
"Ibu bapa terutamanya awasi lah anak-anak anda bagi mengelak sebarang kejadian yang boleh mengakibatkan kecederaan atau kemalangan jiwa," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/09/1300384/kedah-salur-rm1000-kepada-isi-rumah-terjejas-banjir
|